Halal Industry

Produk halal Malaysia diyakini seluruh dunia

KOTA BHARU – Halal Development Corporation (HDC) mengakui sokongan padu daripada kerajaan menjadikan produk halal Malaysia diyakini oleh pengguna di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata, penubuhan institusi yang mengawal selia aspek halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kawasan perindustrian halal menambah keyakinan pengguna terhadap status produk keluaran negara.

Menurutnya, situasi itu dapat dilihat apabila produk halal Malaysia hari ini tidak hanya tertumpu kepada negara di Timur Tengah sahaja.

“Sebaliknya ia sudah menerjah ke pasaran Asia Tenggara serta Asia Pasifik seperti China, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sesi Padanan Perniagaan Usahawan Produk Halal-Kolobrasi HDC dan Mydin Sempena Jelajah Halal Malaysia 2023 Kelantan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Import dan Export, Norman Rajen Abdullah.

Menurut beliau, situasi itu sekali gus turut menjadi penyumbang kepada sumber pendapatan negara.

Ujarnya, setakat ini terdapat 10 lokasi industri halal di Malaysia iaitu dua di Johor manakala masing-masing satu di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Hairol Ariffein memberitahu, eksport produk halal negara pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 63 peratus.

Tambah beliau, ia melibatkan nilai eksport berjumlah RM59 bilion pada tahun lalu berbanding RM30.3 bilion (2021).

“Ia melibatkan produk keluaran industri makanan dan minuman (F&B), bukan makanan seperti penghasilan bahan-bahan ramuan yang digunakan untuk barangan kosmetik serta banyak lagi,” katanya.

Hairol Ariffein memberitahu, melihat kepada situasi itu pihaknya yakin eksport produk halal negara pada tahun ini mampu mencecah sehingga 80 peratus.

Source : Sinar Harian