Conference, News

Persidangan Halal Sedunia 2020 bincang hala tuju industri halal tangani pandemik

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Persidangan Halal Sedunia 2020 ke-12 (WHC2020) yang buat julung kali diadakan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya bakal membincangkan hala tuju industri halal dalam menangani impak pandemik COVID-19.

Menurut Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC) Datuk Mahmud Abbas, ia turut merangkumi situasi pasca pandemik dalam memacu ekonomi ke arah pemulihan ekosistem halal yang komprehensif.

“Industri halal global terjejas berikutan pengeluaran produk di kilang tidak berada pada tahap memuaskan dan optimum. Ini ditambah dengan terdapatnya kekangan dalam rantaian bekalan produk.

“Sepanjang pandemik, pengeluaran kilang tidak dapat menampung permintaan tinggi daripada pengguna dan pada masa sama, kebanyakan negara tidak mahu mengeksport,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Mahmud berkata daripada topik yang merangkumi senario pasca COVID-19, persidangan kali ini menampilkan beberapa duta besar seperti dari Jepun dan Bosnia untuk berkongsi inisiatif halal di negara masing-masing.

“Kami turut menjemput panel berkaitan kewangan Islam untuk menyokong pertumbuhan industri halal dan mengadakan panel perbincangan berkaitan inovasi global dan pasaran fesyen sederhana yang semakin meningkat,” katanya.

Persidangan yang bakal berlangsung pada 6 Okt di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) akan dihadiri 300 peserta selain 1,500 peserta yang akan menyertai melalui maya.

Ia dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

— BERNAMA