KUALA LUMPUR: Jepun akan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk dalam pemasaran produk halal ke pasaran global berikutan kredibiliti serta kemampuan negara ini membangunkan industri berkenaan.
Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka, berkata Malaysia berpotensi menjadi hab pemasaran serta lokasi bagi syarikat Jepun dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan.
Beliau berkata, dengan adanya pembangunan halal yang menyeluruh di Malaysia, perdagangan dua hala antara Jepun dan Malaysia akan terus dapat dipertingkatkan lagi.
“Malaysia menjadi pintu masuk kepada firma Jepun untuk menembusi pasaran halal global. Dengan adanya pembangunan dan infrastruktur halal yang menyeluruh, lebih banyak pelaburan langsung asing dapat ditarik.
“Ini kerana, firma Jepun sentiasa mencari lokasi pelaburan strategik dan Malaysia adalah salah satu daripadanya. Malah, industri halal juga menjadi semakin penting pasca pandemik COVID-19 ini kerana halal sentiasa memastikan kualiti, keselamatan dan kebersihan yang tinggi dalam setiap produk.
“Produk halal Malaysia juga mempunyai pasaran yang besar di Jepun. Nilai pasaran halal di Jepun kini juga meningkat dua kali ganda berbanding beberapa tahun yang lalu,” katanya ketika ditemui di Persidangan Halal Sedunia (WHC2020) di sini, hari ini.
Oka berkata, perdagangan antara Malaysia dan Jepun ketika ini bernilai RM129 bilion dan jumlah ini dapat dipertingkatkan jika produk halal meningkatkan kuantiti dan perkhidmatannya.
Jepun juga, katanya menjalin beberapa kerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan di Malaysia dalam meningkatkan serta meninjau pasaran halal di kedua-dua negara.
“Ini membuktikan Jepun serius dalam menyokong industri halal. Malah Jepun juga sudah merangka serta melaksanakan infrastruktur yang berkaitan bagi menyesuaikan dengan peningkatan permintaan halal,” katanya.
Mengulas lanjut, Oka berkata, antara topik yang menjadi tumpuan ketika ini adalah dalam penyediaan vaksin halal, di mana Jepun juga ketika ini sedang dalam pembangunan vaksin COVID-19.
Walaupun pembangunan vaksin COVID-19 di Jepun masih di peringkat kajian, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan vaksin berkenaan mempunyai status halal.
Sumber: Berita Harian