KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menegaskan kesediaannya untuk menjalin kerjasama dengan negara-negara lain, khususnya ASEAN dalam usaha meningkatkan makanan halal secara mampu diri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, Perdana Menteri berkata, gesaan itu wajar melangkaui aspek makanan halal dengan turut melibatkan segmen farmasesutikal, penghasilan peranti perubatan halal serta bahan atau ramuan halal.
“Selaku pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada masa ini, saya ingin meminta semua ekonomi-ekonomi APEC untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi memastikan produk-produk halal ini mudah didapati, berpatutan serta mapan untuk sejumlah 1.8 bilion penduduk Muslim global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Halal Sedunia Kali Ke-12 anjuran Halal Development Corporation Bhd (HDC) di sini, hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut Perdana Menteri, setakat ini, Malaysia adalah antara sumber rujukan utama untuk lebih 150 negara dalam pelbagai bidang membabitkan pembangunan industri halal dan tadbir urus berkaitan.
Malah, negara ini turut diiktiraf oleh 84 badan pensijilan halal di 46 negara lain.
“Sehubungan itu, saya percaya industri halal tempatan masih mempunyai potensi besar untuk mencatat pertumbuhan. Pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HIDC) yang ditubuhkan oleh kerajaan mempunyai peranan penting untuk memacu serta memantau ekosistem Halal Malaysia yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai hab halal global,” katanya.
Muhyiddin berkata, sebagai negara Islam dengan industri halal yang serba maju, Malaysia bersedia untuk menjalin kerjasama dengan semua negara bagi mempertingkat dan mengembangkan sektor halal global, khususnya dalam bidang kewangan Islam, logistik dan perkhidmatan.
Malaysia juga mempunyai pelbagai institusi penyelidikan yang telah memainkan peranan sebagai peneraju dalam mengetengahkan isu halal kontemporari.
“Dari aspek infrastruktur, kita turut memperluaskan rantaian nilai untuk muncul sebagai pusat teknologi tinggi berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal, menggabungkan reka bentuk serta kegiatan penyelidikan dan pembangunan.
“Bagi kemajuan masa depan, rancangan Malaysia adalah terus meningkatkan infrastruktur negara untuk memperkukuhkan sumbangan halal terhadap ekonomi negara yang ketika ini menyumbang kira-kira 7.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar selain mewujudkan lebih 350,000 pekerjaan baharu untuk rakyat,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata bidang lain yang mana Malaysia di kedudukan baik bagi meraih manfaat serta bergiat aktif adalah ekonomi internet ASEAN yang dianggarkan mencecah US$300 bilion menjelang 2025.
“Ada lebih 360 juta pengguna internet di serata ASEAN iaitu meningkat daripada 260 juta pada empat tahun sebelumnya. Jumlah itu berbanding kira-kira 4.4 bilion pengguna internet global iaitu meningkat 9.0 peratus berbanding setahun lepas,” katanya.
Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan komited sepenuhnya untuk membangunkan ekosistem perindustrian yang komprehensif serta membolehkan industri halal memanfaatkan peluang baharu menerusi penerapan proses pembuatan pintar bagi meningkatkan fleksibiliti dan kecekapan pengeluaran.
Malah, ini juga secara radikal dapat mengubah rantaian nilai dan model perniagaan yang ada, kata beliau.
“Halal Integrated Platform (HIP) yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan dijangka dapat menghubungkan anggotanya dengan pihak berkepentingan utama, termasuk kerajaan negeri dan agensi, badan atau pihak pensijilan, penggiat industri, pengamal, kalangan sarjana serta pengguna — semuanya di bawah satu platform komuniti digital halal,” katanya.
— BERNAMA