News

Jalur Gemilang berkibar di dasar laut

KUALA LUMPUR: Menyelam di dasar laut Pulau Tioman sambil mengibarkan Jalur Gemilang antara kelainan ditampilkan sekumpulan anak muda dalam usaha menzahirkan rasa kesetiaan ketika negara berdepan krisis kesihatan.

Kumpulan terdiri daripada 12 anak muda dari Kelab Sosial dan Rekreasi Halal Development Corporation Berhad (HDC) bukan saja menyemarakkan semangat kemerdekaan, tetapi juga sebagai tanda sokongan kepada industri pelancongan yang terjejas.

Penyelaras program, Fakhirin Mohd Fauzi, berkata idea untuk mengibarkan Jalur Gemilang di dasar lautan diadakan berikutan keterbatasan meraikan Bulan Kemerdekaan tahun ini selain menghidupkan aktiviti gaya hidup sihat.

Katanya, suasana kemerdekaan ini harus diraikan dan ini adalah antara aktiviti yang mampu menanam sifat sayangkan negara kita.

“Kejayaan mengibar Jalur Gemilang buat pertama kali di dasar laut adalah satu kepuasan yang tidak terhingga buat kami.

“Dalam masa yang sama, saya berharap ia dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan sesiapa saja meskipun kita berada dalam tempoh ujian dalam mengadaptasi norma baharu,” katanya.

Bukan setakat aktiviti menyelam, kelab berkenaan turut menganjurkan aktiviti pendakian dan mengibarkan Jalur Gemilang yang disertai lebih 20 ahlinya di Bukit Sapu Tangan, Shah Alam.

Fakhirin berkata, walaupun berdepan dengan pandemik global, semangat kesukanan masih perlu diterapkan dalam kalangan rakyat sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi peserta, Nurfarhanah Roslani, aktiviti kemerdekaan pada tahun ini sangat berbeza berbanding sebelum ini.

“Saya sangat teruja dengan kecantikan dunia bawah laut Pulau Tioman yang menjadikan sambutan Bulan Kemerdekaan cukup bermakna buat diri saya.

“Ini adalah antara sambutan kemerdekaan yang mencabar pernah saya sambut disebabkan ini adalah kali pertama menyertai sukan lasak ini. Satu pengalaman yang sangat berharga buat saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Siti Nur Aini Saad, berkata aktiviti sebegini mampu memberi impak positif dalam pembangunan kendiri dan memupuk semangat kerjasama dan cintakan negara.

“Ekspedisi seumpama ini adalah seperti serampang dua mata yang mana kesempatan ini diambil oleh kami semua untuk melaksanakan misi mengibarkan Jalur Gemilang di dasar laut bersempena bulan kemerdekaan dan juga menjadi satu aktiviti kesihatan mental dan fizikal.

“Melalui ekspedisi ini, kami berkesempatan untuk mengenali penyelam lain yang berbilang bangsa dan agama yang turut menyokong misi kami ini.

“Ini sudah cukup membuktikan kita semua mampu hidup bersama dan menyokong satu sama lain dan boleh menjayakan apa sahaja jika bersatu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Related Posts