News

HDC bantu PKS tingkat daya saing produk halal tempatan

Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Berhad (HDC) melaksanakan inisiatif Halal Souring Partnership Program (HSPP) bagi meningkatkan daya saing produk serta perkhidmatan halal, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di negara ini.

HSPP adalah satu program fasilitasi pembangunan pengantarabangsaan rantaian bekalan halal yang sudah dibangunkan sejak 2019 oleh HDC menerusi kerjasama rakan strategik dari syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan seperti iaitu F&N, Lulu, Julies, Kewpie, Giant dan Lotus’s.

Objektif utama program fasilitasi ini untuk membuka ruang serta peluang perniagaan kepada PKS halal tempatan sebagai pembekal kepada rakan strategik terbabit sejajar dengan misi HDC dalam meningkatkan daya saing produk halal tempatan.

HDC melalui program HSPP menawarkan fasilitasi dana berstruktur yang merangkumi pensijilan antarabangsa (HACCP /ISO22000), penjenamaan digital dan pembangunan produk pembungkusan kepada PKS yang terpilih menerusi penilaian yang dijalankan bersama rakan strategik HDC.

Inisiatif ini amat penting untuk meningkatkan keupayaan, daya saing dan kebolehpasaran produk serta perkhidmatan PKS halal tempatan pada peringkat global.

Mencecah tiga tahun pelaksanaannya, HSPP terbukti dapat membantu kepada PKS terpilih, malah menjadikan mereka lebih bersedia untuk berubah, terutama bagi menghadapi suasana perniagaan yang berbeza disebabkan pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Joshafa Sdn Bhd (Joshafa), Jamaleddin S G Surani, berkata penyertaan dalam HSSP membolehkan syarikat itu meningkatkan pengetahuan dalam pemasaran secara dalam talian, sekali gus melonjakkan prestasi jualan runcitnya sehingga 80 peratus.

Beliau berkata, syarikat yang membangunkan produk ais krim gelato, kek gourmet dan pemanis mulut premium di bawah jenama LEZZETTO sejak 2007 itu, terkesan teruk berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Konsep perniagaan Joshafa adalah berbentuk perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) di mana kami berurusan secara terus dengan hotel dan restoran disebabkan kami kurang pengetahuan dan pengalaman di dalam pemasaran digital.

“Bagaimanapun, apabila perniagaan kami terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19, kami menukar strategi kepada perniagaan secara dalam talian (e-dagang) dan bernasib baik, terpilih menyertai program HDC & Google Ads dan HSPP Grant 2020 yang dilaksanakan oleh HDC.

“Melalui program ini, kami diberikan pendedahan kepada pemasaran digital yang membantu dalam mempromosi produk kami kepada kumpulan sasaran sehingga 200 peratus dan meningkatkan jualan sehingga 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu sebelum ini tidak pernah menjangka dapat mencapai HACCP bagaimanapun, perkongsian melalui HSSP serta konsultansi daripada HDC membolehkan syarikat itu memahami keperluan mendapatkan pengiktirafan berkenaan.

HSPP terbukti membawa kejayaan untuk PKS terpilih, malah ia menjadikan mereka lebih bersedia untuk berubah, terutama bagi menghadapi suasana perniagaan yang berbeza disebabkan pandemik COVID-19.

“Program HSPP bukan saja menawarkan penyelesaian kepada PKS, malah mengajar kami untuk berfikir di luar kotak.

“Ia memberi PKS seperti kami ‘talian hayat’ dan sokongan supaya lebih berdikari serta berkeyakinan bagi mengharungi pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Ligno Biotech Sdn Bhd (Ligno Biotech), Nurin Aqilah Azlan, berkata ‘tarikan’ HSPP sebagai satu program yang mempunyai platform luas memasarkan produk, menyebabkan syarikat itu berminat menyertainya.

Katanya, menerusi fasilitasi penjenamaan digital yang diterima, Ligno Biotech berpeluang memasarkan produk minuman tenaga dan kesihatan serta penjagaan kesihatan ke pasaran antarabangsa secara berkesan.

“Selain pencapaian dalam peningkatan jualan, manfaat lebih utama kami peroleh daripada program ini adalah meningkatnya kesedaran dan penerimaan positif orang ramai terhadap jenama serta produk Ligno Biotech.

“Platform digital bersama syarikat gergasi teknologi global, Google melalui HSPP juga membolehkan aspek kualiti dan keselamatan produk kami semakin dikenali ramai serta dipercayai,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Nuha Food Sdn Bhd (NUHA), Mohd Faris Abdul Salim pula, berkata menerusi HSPP, syarikat itu terpilih untuk menerima fasilitasi geran Pembangunan produk: Pembungkusan.

Menerusi inisiatif ini, NUHA yang menjalankan perniagaan bawang goreng, kini semakin cakna sebagai pendiri perniagaan. Pemahaman terhadap functionalpackaging dan reka bentuk yang menarik adalah antara elemen yang sangat penting untuk menarik minat pelanggan.

“Ini terbukti di mana kami sudah berjaya mendapat tempahan dari luar negara dengan menggunakan pelabelan dan pembungkusan baru,” katanya.

Begitu juga penyertaan Natural Wellness Holdings Sdn Bhd (Natural Wellness) dalam program HSPP, berupaya ‘menarik’ trafik lebih tinggi ke laman web dan platform sosial media.

Ketua, Strategi Hal Ehwal Korporat dan Komersial, Natural Wellness, Datin Bariah Ishak, berkata platform media sosial syarikat itu dihujani mesej daripada pelanggan berpotensi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat dan perkhidmatan ditawarkan.

“Melalui HSPP, kami kini tahu bagaimana kata kunci ini memainkan peranan yang penting untuk merancakkan perniagaan.

Ia pendedahan berharga kepada syarikat, sekali gus membolehkan kami memperoleh lebih ramai pelanggan berpotensi serta pertanyaan mengenai perniagaan yang dijalankan termasuk melalui e-mel, platform sosial media dan panggilan telefon,” katanya.

Menurut Bariah, Natural Wellness yang mengeluarkan produk kesihatan menyertai HSPP selepas mengkaji keberkesanan program itu serta bagaimana ia dapat membantu perniagaan dengan memberikan impak dan lonjakan yang diperlukan untuk mengorak langkah ke hadapan.

Inisiatif HDC fokus dalam membangunkan pemain industri halal negara dalam mengembangkan perniagaan mereka termasuk pada peringkat antarabangsa.

Bagi Pengurus Besar, CK Noodles Sdn Bhd (CK Noodles), Jason Lee, berkata penyertaan syarikat itu dalam program HSPP sebagai peluang untuknya meningkatkan piawaian kilang.

“Paling ketara ialah produk CK Noodles berasaskan mi dan pastri beku dan kering mendapat permintaan yang tinggi untuk import ke luar negara. Selain pendapatan meningkat, produk CK Noodles semakin dikenali,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Sky Nutraceuticals Sdn Bhd (Sky Nutraceuticals), Dato Tan Hock Kheng pula, berkata faktor utama untuk menyertai program ini timbul berikutan pendekatan dan kejayaan HSPP amat menarik minat Sky Nutraceuticals.

“Peluang untuk bekerjasama bersama HDC dan syarikat gergasi seperti Google membuka ruang dan peluang untuk kami mendalami pengetahuan berkaitan penjenamaan digital dan membolehkan syarikat mengembangkan perniagaan.

“Hasil dari kempen penjenamaan digital bersama Google, kami menerima respon yang sangat baik dan banyak pertanyaan mengenai produk. Ini menunjukkan bahawa kesedaran dan minat pengguna terhadap produk kami semakin meningkat, hasil dari strategik posting yang dijalankan.

“Malah, laman web kami pernah tergendala akibat respon yang terlalu tinggi dan penambahbaikan telah dilakukan bagi memastikan taraf server lebih efisien,” katanya.

Beliau juga amat bersetuju penjenamaan digital adalah sangat penting kerana ia mampu meningkatkan kesedaran terhadap produk dan jenama syarikat di samping meluaskan peluang perniagaan.

Katanya, ilmu yang diperolehi dari kempen Google Ads sangat luas, termasuk mempelajari kemahiran seperti iklan melalui video dan sebagainya.

“Justeru, kami akan mempergiatkan lagi usaha dari segi penjenamaan digital dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan kami,” katanya.

HDC adalah merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) yang berperanan memudahkan pertumbuhan ekonomi halal Malaysia dengan membangunkan inisiatif-initiatif strategik, memupuk bakat dan tenaga mahir sejurus meletakkan negara sebagai peneraju industri halal global.

Kepada usahawan produk halal berminat untuk menyertai Halal Sourcing Partnership Program, sila emel ke [email protected].