News

WHBC luaskan jangkauan ke Australia, pacu industri halal

PERSIDANGAN Perniagaan Halal Sedunia (WHBC), forum industri anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) akan meluaskan jangkauannya ke Australia dengan penganjuran WHBC Circuit pertama yang akan diadakan di luar Malaysia di Pullman Albert Park, Melbourne pada 1 hingga 2 September ini.

Dianjurkan oleh HDC dan Perdagangan Australia yang disokong oleh Suruhanjaya Pelaburan (Austrade) dan Kerajaan Negeri Victoria, WHBC Circuit 2022 Australia dilihat dapat menyumbang secara langsung dalam pembangunan keseluruhan industri halal Malaysia dan Australia.

Bertemakan Peluang Halal dalam Dunia Tanpa Sempadan, WHBCC2022 yang kini diadakan untuk tahun ke-14, akan diadakan secara fizikal sepenuhnya dengan menampilkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan wakil kedua-dua negara, kapten industri, ahli perniagaan, komuniti perdagangan dan pemimpin masyarakat dari seluruh dunia, untuk membincangkan, mempromosi dan berinteraksi sepanjang persidangan dua hari itu.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, mengikut terma memorandum persefahaman yang ditandatangani antara HDC dan Austrade pada Februari tahun ini, WHBC Circuit di Australia akan memberi tumpuan kepada inisiatif perniagaan strategik yang terdiri daripada tiga tunggak utama, termasuk promosi pelaburan, rundingan perdagangan dan tenaga pakar halal.

“Kami akan membincangkan isu lazim yang dihadapi oleh industri, dengan tujuan untuk menggalakkan penciptaan kekayaan serta mempromosikan peluang perniagaan halal dalam kalangan pemain industri. Kami akan meneruskan penglibatan kami dengan sesi taklimat meliputi semua bandar utama di seluruh Australia, untuk mewujudkan momentum mengenai potensi lumayan industri halal dan menerangkan peranan utama Malaysia dalam ekosistem industri halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hairol, secara keseluruhannya, ia persidangan yang tidak boleh dilepaskan untuk pemain industri, utusan diplomatik, kapten industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam sektor kerajaan, syarikat multinasional, persatuan perdagangan dan industri serta dewan perniagaan.

“Pada masa ini, negara yang paling banyak mengambil bahagian adalah dari Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura, Filipina dan Kanada. Kami berharap untuk mendapatkan lebih ramai perwakilan dari Eropah, Afrika dan Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanan Perdagangan dan Pelaburan Austrade, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Paul Sanda berbesar hati kerana Australia dipilih sebagai negara tuan rumah pertama untuk WHBC Circuit 2022.

source : Sinar Harian