News

PULAU PINANG DI LANDASAN BETUL JADI PUSAT INDUSTRI HALAL WILAYAH UTARA – HDC

GEORGETOWN, 31 Julai (Bernama) — Pulau Pinang berada di landasan betul untuk menjadi pusat industri halal bagi wilayah utara, kata Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Arien Sahari berkata terdapat peluang besar bagi industri ini di Pulau Pinang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonominya dengan menggalakkan perniagaan berkaitan halal untuk memperoleh pensijilan halal.

“Pensijilan halal tidak boleh dilihat sebagai satu keperluan agama. Ini adalah satu perniagaan yang penting dan kuasa pasaran untuk pertumbuhan ekonomi berikutan perubahan dari segi permintaan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata visi menyokong Malaysia untuk menjadi hab halal di peringkat dunia menerusi usaha kolektif antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri adalah wajar.

Hairol Arien berkata sehingga Februari 2023, lebih daripada 900 produk makanan, minuman dan premis makanan telah menerima pensijilan halal di Pulau Pinang, dan HDC komited untuk bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk meningkatkan jumlah itu.

HDC adalah antara agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menjadi penganjur bersama Hari MITI 2023 yang diadakan di Kubang Menerong, Pulau Pinang semalam.

Hari MITI 2023 bertemakan “Perkasa Industri, Maju Ekonomi” diadakan dengan objektif utama untuk mengeratkan hubungan kementerian dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana berhubung peluang perniagaan di Malaysia.

Sumber BERNAMA