News

Pensijilan halal: HDC akan bekerjasama dengan Jakim, mudahkan permohonan

Kuala Lumpur: Halal Development Corporation (HDC) akan bekerjasama dan mengadakan sinergi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi-agensi berkaitan untuk mempercepatkan dan mempermudahkan proses permohonan pensijilan halal.

Ia bagi meningkatkan nilai dagangan eksport produk halal Malaysia ke pasaran global.

Pengerusinya Khairul Azwan Harun berkata, ia termasuklah menambah bilangan jumlah syarikat pengeksport yang memiliki sijil halal.

“HDC juga akan membina platform digital baharu yang akan mengintegrasi aplikasi dan sistem sedia ada bagi membantu proses bermula daripada pra-pensijilan hingga kepada kelulusan dan pasca-pensijilan.

“Kita yakin tempoh kelulusan yang dipendekkan kepada 30 hari seperti yang disarankan Perdana Menteri akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 kepada 30 hari.

Katanya, HDC bersama-sama Jakim akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.

Sumber : Harian Metro