KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) – Halal Development Bhd (HDC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan usahawan, khususnya usahawan wanita dalam ekosistem industri halal negara
Selain itu, HDC juga memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memperkasa pembangunan industri halal dalam kalangan usahawan dan komuniti luar bandar.
Majlis pertukaran MoU dan MoC itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Majlis tersebut diadakan sempena Ekspo Agri Komoditi – Women in Halal Industry (WHI) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad selaku Peneraju program WHI, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.
Menurut kenyataan HDC, MoU dengan MARA bertujuan memperkasa pembangunan usahawan Halal melalui program berimpak tinggi yang merangkumi pembangunan kapasiti, pemerkasaan keusahawanan, latihan kemahiran, pensijilan halal, akses pasaran serta sokongan pembiayaan, dengan penekanan khusus pada penglibatan wanita dalam industri halal.
Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari berkata kerjasama itu selari dengan peranan HDC sebagai agensi peneraju industri halal negara, dan mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluas ekosistem halal yang inklusif dan mampan serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan wanita untuk berkembang dan bersaing di peringkat domestik dan global.
MoC bersama RISDA pula bertujuan meneroka peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan kapasiti usahawan, peningkatan pematuhan halal, pemerkasaan rantaian nilai serta penglibatan komuniti luar bandar dalam ekosistem industri halal nasional.
HDC menyatakan bahawa melalui MoC ini, HDC akan memanfaatkan kepakarannya untuk menyokong inisiatif RISDA dalam memperkasa pekebun kecil dan usahawan di bawah seliaannya. RISDA pula akan berperanan sebagai rakan strategik untuk memperluas capaian program pembangunan halal kepada komuniti akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar.
Kerjasama itu juga selari dengan aspirasi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang menekankan pembangunan industri halal yang berdaya saing, berimpak tinggi dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
Sumber : BERNAMA

