Dari kiri; Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar ketika sidang media selepas penganjuran Webinar bertajuk ‘Embracing a Halal Pharmaceutical Eco-system’ oleh HDC di Menara KPMG, di sini, hari ini. -Foto: Ihsan Bzbee
NILAI eksport farmaseutikal halal mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak RM401 juta pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari memberitahu, pada 2018 nilai eksport tersebut hanya mencatatkan RM395 juta tetapi kemudiannya menunjukkan pertumbuhan lebih stabil pada tahun lalu.
Beliau berkata, jumlah eksport halal untuk tahun 2019 pula adalah RM40.2 bilion termasuk perubatan halal yang merangkumi suplemen, produk generik serta produk berasaskan ramuan tradisional.
“Destinasi eksport utama 2019 adalah Amerika Syarikat, Singapura, Nigeria, Hong Kong dan China.
“Peningkatan permintaan itu secara langsung memberi peluang kepada pemain industri untuk menambahbaik aspek Halal sebagai nilai tambah kepada produk farmaseutikal halal,” katanya pada sidang akhbar selepas penganjuran Webinar bertajuk ‘Embracing a Halal Pharmaceutical Eco-system’ oleh HDC di Menara KPMG, di sini, hari ini.
Penganjuran webinar yang disertai 500 pemain industri secara dalam talian itu merupakan kerjasama HDC bersama Duopharma Biotech Berhad dengan KPJ Healthcare Berhad, sementara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertindak sebagai hos.
Hairol Ariffein berkata, selain mempromosikan sektor Halal yang baharu seperti farmaseutikal, pihaknya turut menawarkan kepakaran dalam memudahkan penglibatan pemain industri ke ekonomi halal melalui perkhidmatan latihan, perundingan serta ‘business matching’.
Turut hadir dan menjadi panel webinar adalah Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, sementara seorang lagi panel iaitu Pakar Kesihatan Global Senior Bank Pembangunan Islam, Dr Ammar Abdo Ahmed turut menyertai secara dalam talian dari Ottawa, Kanada.
Sementara itu, Leonard Ariff berkata, webinar tersebut memberi penekanan kepada pentingnya membina komuniti lebih kukuh serta mampan dalan ekosistem farmaseutikal halal sekali gus ke arah penambahbaikan industri penjagaan kesihatan atau ‘healthcare’ di negara ini.
“Kita bukan saja mengetengahkan trend pasaran serta keperluan penjagaan kesihatan awam yang berhubung kait dengan konsep halal tetapi juga menonjolkan potensi farmaseutikal halal yang begitu meluas bagi industri terbabit.
“Selain itu, piawaian farmaseutikal halal MS2424:2012 yang pertama diperkenalkan di Malaysia juga mendapat sokongan dan diterima komuniti antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, piawaian seterusnya, MS2424:2019 telah memperluaskan skop pensijilan Halal untuk menangani peningkatan permintaan dalam ‘biologics’ serta pencarian vaksin Halal.
Katanya, kedudukan Malaysia dalam menerajui industri farmaseutikal halal telah memudahkan laluan pengeluar farmaseutikal tempatan untuk menembusi pasaran farmaseutikal halal global yang dianggarkan bernilai kira-kira ASD134 bilion menjelang 2024.
“Selain itu, tiga aspek iaitu kebersihan, sanitasi dan keselamatan merupakan pra-syarat utama dalam proses pembuatan farmaseutikal halal dan ia juga bagi memastikan jaminan kualiti dan penanda aras untuk piawaian berkualiti tinggi.
“Pensijilan Halal kini diakui sebagai nilai tambah yang amat penting dalam industri farmaseutikal,” katanya.
Sumber : Sinar Harian