News

BIMB, HDC lancar program Dana Halal bernilai RM100 juta

Syarikat Halal Development Corporation Berhad (HDC) telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)  bagi membangunkan Program Pembiayaan Dana Halal (GO Halal Fund) pada pagi tadi.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat bahawa inisiatif yang juga disebut sebagai Dana Go Halal ini akan dapat meringankan beban pengusaha kecil dan sederhana (PKS) secara teratur dan lebih strategik serta berharap lebih banyak institusi kewangan Islam dapat menganjurkan inisiatif seumpama ini.

Pada tahun 2020, jumlah eksport halal negara mencecah RM31 Billion melangkaui sasaran Rm19 Billion yang telah ditetapkan dalam Pelan Induk Industri Halal yang pertama serta mencatat lebih 1,000 syarikat PKS yang memperoleh sijil halal terlibat dalam aktiviti pengeksportan lantas menunjukkan potensi pertumbuhan untuk industri halal negara kita masih amat luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata bahawa, GO Halal Fund merupakan satu komitmen awal untuk merangsang industri halal negara dan antara strategi permulaan perancangan lima tahun Bank Islam menjelang 2025 yang dinamakan sebagai LEAP 25.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, GO Halal Fund yang mempunyai permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta ini ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan peserta dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

Katanya lagi, pembiayaan ini juga membantu meningkatkan prestasi perniagaan ke tahap lebih tinggi serta mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

“Kerjasama dengan Bank Islam adalah melalui platform digital HDC, Halal Integrated Platform (HIP), dan platform SMEXpert Bank Islam” katanya.

HIP merupakan satu platform digital yang menyatupadukan semua komponen utama dalam ekosistem industri halal Malaysia. “Setakat ini, telah hampir 2,200 syarikat yang telah mendaftar dalam platform HIP ini dan mereka boleh dipertimbangkan untuk memohon dana halal ini” kata Hairol Ariffein.

YouTube : BIMB, HDC lancar program Dana Halal bernilai RM100 juta

Source – Kini Halal