News

Syarikat halal digesa manfaat pasaran RM10 trilion

KUALA LUMPUR: Halal Industry Development Corporation Bhd (HDC) menggesa syarikat halal persendirian memanfaatkan sepenuhnya sokongan kerajaan bagi meraih bahagian lebih besar daripada pasaran global yang diunjurkan mencecah RM10 trilion pada 2024.

Ketua Pegawai Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias, berkata syarikat halal persendirian juga perlu menggunakan kelebihan peluang pasaran halal yang disediakan kerajaan untuk menyertai sepenuhnya pertumbuhan industri ini.

“Walaupun unjuran ekonomi halal global terjejas berikutan pandemik, namun kita masih menjangkakan pertumbuhan 3.1 peratus dari segi kadar pertumbuhan tahunan terkumpul dalam lima tahun akan datang.

“Jadi, kita mengunjurkan menjelang 2024, nilai pasaran halal akan mencecah sehingga AS$2.4 trilion (RM10 trilion),” katanya semasa perbincangan panel pada hari kedua Forum Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-HDC 2021 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Pasaran Modal Islam’ yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan ekosistem halal komprehensif dengan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang dibangunkan untuk memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam industri halal.

“HIMP 2030 menggabungkan analisis aliran industri halal dan unjuran di peringkat global dan Malaysia di samping menilai perkembangan industri berasaskan sektor tumpuan.

“Pelan induk ini menetapkan rangka kerja pembangunan untuk industri halal negara dan menekankan peluang bagi pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia dalam usaha memaksimumkan pulangan ekonomi berpotensi dalam dekad akan datang dan selepasnya,” katanya.

Hanisofian berkata, kerajaan akan menyediakan insentif dan platform komprehensif untuk memudah cara penyertaan, operasi dan pertumbuhan khususnya dalam membangunkan ekosistem halal yang kondusif.

Forum SC-HDC 2021 selama dua hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengumpulan dana berasaskan pasaran patuh syariah bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutama yang tergolong dalam ekonomi halal.

Berita Harian Online