KUALA LUMPUR, 22 Februari- Halal Development Corporation Bhd (HDC) bekerjasama dengan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (AUSTRADE) untuk menganjurkan World Halal Business Conference Circuit 2022 di Melbourne, Australia pada Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata Malaysia dan Australia telah lama menjadi rakan perdagangan dalam industri halal, terutamanya dalam perkhidmatan makanan seperti tenusu dan daging, perhotelan dan industri pembuatan.
“Ini akan melengkapkan sektor pembuatan Malaysia yang kukuh yang akan terus memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara.
“Pada tahun lepas, sektor pembuatan menyumbang sebanyak 22 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara termasuk subsektor pembuatan halal yang semakin berkembang tertumpu kepada produk makanan dan penjagaan kesihatan,” katanya dalam ucapan pada Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2021 di sini pada malam Isnin.
Beliau berkata kerjasama itu juga akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai rakan pilihan dalam ekosistem halal global dan mewujudkan peluang komersial yang lebih besar untuk pihak berkepentingan Australia dan Malaysia dalam ekonomi halal yang semakin berkembang.
“Kerjasama ini bukan sahaja tertakluk kepada pandangan pasaran dan peluang kerjasama. Apa yang penting, ia akan merangkumi projek untuk meningkatkan perdagangan, pertukaran pengetahuan risikan pasaran, pelaburan dalam taman halal, latihan dan perundingan serta penganjuran bersama acara berkaitan halal,” kata Hairol Ariffein.
Sementara itu, katanya industri halal kini mengalami situasi kekurangan bekalan dalam pasaran global.
“Oleh itu, penggiat halal tempatan perlu menggunakan sepenuhnya jenama halal yang kukuh ini untuk meneroka ke luar negara dan mewujudkan bahagian pasaran yang lebih besar dalam pasaran halal global.
“Ini memberi peluang untuk meraih anggaran pasaran penggunaan global untuk barangan dan perkhidmatan halal yang dijangka berkembang pada empat peratus setiap tahun untuk mencecah AS$2.4 trilion pada 2024,” katanya.
Industri halal dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK negara dan menjana pendapatan eksport RM56 bilion pada 2025 berbanding RM31 bilion pada 2020 seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-12. -BERNAMA