News

Eksport halal negara mampu cecah RM40 bilion

MELAKA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin prestasi eksport produk halal negara akan kembali kukuh seperti sebelum ini dengan sasaran mencecah RM40 bilion sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan usaha dilakukan kementerian dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) bersama 13 agensi, selepas pembukaan sempadan dan ekonomi secara menyeluruh.

Menurutnya, eksport halal negara mendapat permintaan tinggi dari China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Beliau berkata, antara produk halal utama yang dieksport adalah barangan penjagaan badan, farmaseutikal, kosmetik, makanan dan minuman serta ramuan.

“Sebelum pandemik Covid-19, produk halal negara pernah mencecah eksport RM40 bilion berbanding prestasi pada 2021, kita hanya mencatat pencapaian RM36.3 bilion dan RM30.5 bilion tahun sebelum itu.

“Saya percaya dengan usaha yang dijalankan oleh MITI dan HDC ditambah pula ekonomi telah dibuka secara menyeluruh dan pembukaan sempadan negara, nilai eksport kita mampu kembali mencecah RM40 bilion menjelang hujung tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan komputer kepada sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ban Hong berkata, Halal Hub Melaka di Serkam, Jasin dekat sini telah menarik pelaburan sebanyak RM153.74 juta dengan pelaburan langsung asing berjumlah RM64.83 juta.

KOSMO! ONLINE