HALAL Development Corporation (HDC) akan membantu syarikat atau produk yang mendapat pengiktirafan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempromosikan barangan ke peringkat antarabangsa.
Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus mempergiat usaha bagi memastikan barangan halal negara diperkasa dan diperluas ke serata negara.
Jelasnya, ini memandangkan industri halal mempunyai pasaran tersendiri yang boleh mencecah sehingga AS$3 trilion bersamaan RM13.86 trilion.
Bagaimanapun menurutnya, pada 2022, industri halal di Malaysia hanya berjaya mengeksport barangan sebanyak RM59.46 bilion.
“Itu jaminan HDC berikan. Kita akan promosi syarikat tempatan yang berpotensi mengeksport produk kita di pasaran-pasaran halal yang kita telah kenal pasti. Ini kelebihan yang diperoleh sekiranya syarikat atau produk itu mendapat sijil halal.
“HDC juga sedang memikirkan strategi dan cara lain bagaimana kita boleh tingkat nilai eksport secara kerjasama dengan pengeluar dan pengeksport yang sudah mendominasi pasaran halal global dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Khairul, HDC juga melancarkan satu Pelan Induk Industri Halal (HIMP) bagi memfokuskan sektor pengeluaran, perdagangan, inovasi produk dan perkhidmatan halal untuk mencapai sasaran iaitu sebanyak 10.8 peratus bersamaan RM230 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.
Dalam masa sama, Khairul berkata, HDC dalam perancangan memperkenalkan National Halal Digital Platform (NHDP) yang bukan sahaja membantu proses penilaian dan kelulusan, tetapi juga bantu pemohon mendapatkan sijil halal dan juga pemain industri.
Tambahnya, melalui NHDP yang dirancang itu, semua ekosistem halal akan dikumpulkan dalam satu platform.
Jelas beliau, HDC sedang menunggu untuk mendapatkan kelulusan MITI dan jemaah menteri sebelum dibentangkan pada Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) pada September depan.
“Dengan adanya NHDP ini, kita akan melihat ekosistem halal negara bergerak dengan lebih tinggi dan laju berbanding negara pesaing seperti Indonesia, Turkiye, dan Arab Saudi.
“NHDP ini adalah platform dan rangka kerja menyeluruh. Kita akan letakkan Platform Integrasi Halal (HIP) untuk berada dalam NHDP termasuk aplikasi lain sebagai contoh MYeHALAL di bawah Jakim dan aplikasi lain.
“NHDP tidak akan beri eksklusiviti kepada mana-mana syarikat dan pemain industri. Kalau ada ini, nanti tidak ada semak dan imbang.
NHDP akan membuka ruang dan peluang supaya mana-mana terutama syarikat tempatan yang baru bangunkan aplikasi berkaitan halal,” katanya.
Sumber : Sinar Harian