News

HDC mahu diberi peranan proses keluar sijil halal

PETALING JAYA: Halal Development Corporation Bhd (HDC) mahu mencadangkan kepada kerajaan supaya agensi itu turut diberi peranan dalam pengeluaran pensijilan halal membabitkan produk eksport baharu.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun, berkata cadangan berkenaan bukan bermakna pihaknya mahu mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku badan bertanggungjawab mengeluarkan pensijilan halal dalam negara ketika ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa langkah itu adalah untuk membantu mengurangkan bebanan tugas JAKIM di samping mempercepatkan proses pengeluaran sijil berkenaan supaya dapat menembusi pasaran eksport yang lebih besar serta membolehkan sasaran RM300 bilion nilai eksport halal negara pada 2030 dicapai.

“Kami sedang berbincang dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) dan pihak kerajaan, mungkin HDC juga boleh berperanan selepas ini untuk menjadi badan pensijilan dan mengeluarkan sijil (halal), tetapi bukan bertindih dengan JAKIM, tetapi fokus kepada produk eksport yang baharu.

“Jika untuk produk yang sudah sedia ada mempunyai pensijilan halal melalui JAKIM, mereka boleh terus mengeksport. Apa yang HDC cadangkan hanya membabitkan produk baharu.

“Hal ini kerana, kami melihat HDC turut berperanan untuk mempromosikan aktiviti perdagangan antara Malaysia dan pasaran luar,” katanya kepada BH.

HDC, agensi di bawah MITI adalah penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, nilai industri halal global ketika ini adalah AS$3 trilion atau kira-kira RM13.86 trilion, namun pada 2022 nilai eksport industri halal di Malaysia hanya RM59.46 bilion, satu jumlah yang masih kecil.

“Jadi, saya melihat ada keperluan untuk HDC turut serta dalam proses pengeluaran pensijilan halal bagi mengukuhkan lagi industri halal negara terutama membabitkan pasaran eksport.

“Kami berharap jika kerajaan boleh pertimbang untuk memberi mandat kepada HDC dalam hal ini. Ia akan memerlukan kami bekerjasama dengan JAKIM dan membantu mereka serta menjadi pelengkap kepada usaha dan peranan JAKIM.

“Ini mungkin ada membabitkan sedikit penggubalan akta sedia ada dan juga akan membabitkan bimbingan dan panduan daripada Majlis Raja-Raja Melayu kerana membabitkan hal ehwal agama Islam pada peringkat negeri,” katanya.

Mengenai agenda diplomasi halal, Khairul Azwan berkata, HDC yang telah dipertanggungjawab oleh kerajaan untuk menjayakan agenda berkenaan sudah mempunyai kerangka yang lengkap untuk dijadikan sebagai panduan oleh semua kementerian dan agensi berkaitan.

Katanya, konsep berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana sejak puluhan tahun apabila kerajaan mengadakan lawatan ke luar negara, topik halal sememangnya akan berada dalam agenda perbincangan dua hala.

“Namun, selama ini agenda halal ini tidak tersusun, tiada objektif yang nyata serta tidak seragam. Semua agensi berkaitan bekerja secara silo, menjadikan maklumat yang disampaikan kepada pihak luar bercelaru.

“Sehubungan itu, HDC berharap melalui kerangka diplomasi halal, setiap kali ada misi pelaburan ke luar negara, kita boleh memposisikan halal dalam perbincangan dua hala dengan lebih baik dan kemas.

“Hal ini kerana tujuannya adalah untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pensijilan halal nombor satu dunia untuk tempoh lebih lama dan keduanya, untuk mengembangkan ekonomi halal negara dan menyumbang kepada pertambahan eksport kita,” katanya.

Sumber : Berita Harian