KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi memperoleh kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) untuk tahun ke-10 berturut-turut, menurut Halal Development Corporation Bhd (HDC).
Dalam kenyataan hari ini, HDC berkata kedudukan GIEI 2023 meletakkan Malaysia di barisan hadapan, diikuti rapat oleh Arab Saudi, Indonesia dan UAE.
Merujuk laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) edisi 2023/2024, katanya Malaysia mendapat tempat pertama dalam sektor kewangan Islam, makanan halal serta media dan rekreasi halal, disokong dengan kedudukan tempat kedua dalam “modest fesyen”, tempat ketiga dalam farmaseutikal dan kelima dalam pelancongan.
Sejak penubuhan Laporan SGIE, katanya Malaysia secara konsisten menduduki tempat teratas, mempamerkan komitmen berterusan negara terhadap ekonomi Islam.
Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata pencapaian ini menunjukkan kemajuan yang mampan dalam Ekosistem Halal Malaysia sejak penubuhan HDC pada 2006.
“Malaysia berikrar untuk mempertahankan kedudukan unggul ini dengan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP2030), adaptasi teknologi dan pendigitalan ekosistem halal.
“HIMP2030 memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan komprehensif industri halal Malaysia, memupuk keterangkuman dan pertumbuhan yang teguh,” katanya.
Laporan SGIE disediakan oleh Dinar Standards, sebuah firma penyelidikan dan penasihat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mengkhusus dalam inovasi kerajaan, ekonomi halal global dan ruang impak sosial.
Melangkah ke hadapan, HDC berkata Malaysia akan terus memimpin industri ini secara berterusan, didorong oleh pertumbuhan tahun ke tahun dalam makanan halal dan disokong oleh peningkatan permintaan di seluruh dunia untuk produk yang mematuhi piawaian halal.
Katanya Malaysia, dengan 84 badan pensijilan yang diiktiraf setakat ini, berada pada kedudukan yang baik untuk mematuhi dan mendokong, terutamanya dalam sektor bahan halal seperti gelatin halal.
Sumber : Astro Awani