News

HDC Halal Knowledge Centre (HKC) meningkatkan penguasaan pengetahuan dan kefahaman industri halal

Halal Knowledge Centre (HKC) atau Pusat Pengetahuan Halal adalah sebuah pusat rujukan halal utama yang telah ditubuhkan sejak 2009 yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Halal Development Corporation (HDC). Peranan utama HKC adalah mempromosikan pengetahuan dalam usaha memacu pertumbuhan industri halal di Malaysia. Dalam era globalisasi ini, sebuah portal digital HKC telah dibangunkan bagi menyatukan pelbagai perkhidmatan dan maklumat, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pengguna di seluruh dunia yang telah dikunjungi lebih 30 ribu pengguna sejak 2020.

Dalam ekonomi global masa kini, di mana pengetahuan merupakan pemacu utama kepada inovasi dan pembangunan, HKC memainkan peranan sebagai pusat sokongan penting bagi industri berasaskan pengetahuan melalui penerbitan pengetahuan dan perkongsian maklumat industri. HKC juga mengiktiraf kepentingan pengurusan data yang cekap dan analisis yang mendalam bagi memudahkan proses membuat keputusan yang berinformasi dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Oleh itu, penggunaan data untuk menggerakkan penyebaran  pengetahuan dan analisis yang mendalam meningkatkan sumbangan HKC kepada kemajuan dan kelestarian industri berasaskan pengetahuan.

HKC menyediakan akses kepada lebih 23 ribu bahan koleksi rujukan berkaitan dengan industri halal termasuk berita terkini, koleksi kertas penyelidikan dan persidangan, laporan industri, artikel, jurnal, buku digital dan multimedia boleh diakses secara atas talian. Ini membolehkan ahli HKC sentiasa mendapat maklumat yang tepat dan terkini tanpa mengira lokasi dan masa.

Melalui HKC, syarikat dan pemain industri dapat mengakses koleksi penyelidikan pasaran dan perniagaan bagi maklumat untuk membuka peluang kepada perniagaan lebih berkembang dan mencapai pasaran baru bagi meningkatkan daya saing produk halal di pasaran global.

Usahawan baru, ahli akademik malahan pelajar yang ingin mendapatkan kursus atas talian, HKC menawarkan pelbagai sumber pembelajaran yang boleh diakses bagi memudahkan proses pembelajaran dan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.

HKC juga mengeluarkan bahan penerbitan kajian dan dokumen teknikal bagi meningkatkan kefahaman mengenai industri halal termasuk sektor makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal, perkhidmatan logistik yang dapat dimanfaatkan oleh ahli HKC.

‘Di masa hadapan, diharap HKC dapat terus berkembang dan memainkan peranan yang lebih besar dalam mempromosikan industri halal bukan sahaja di peringkat nasional malahan di peringkat antarabangsa. Ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang halal tetapi juga membantu dalam pembangunan ekonomi melalui industri halal yang semakin berkembang pesat’ tambah Encik Akmal Al Amini, Pengurus Kanan, Pengurusan Pengetahuan HDC.

Source : KiniHalal