News

Eksport halal Malaysia bernilai RM54 bilion pada 2023

KUANTAN: Nilai eksport bagi industri halal negara pada tahun lalu mencecah RM54 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, industri halal memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan sektor itu berpotensi untuk terus berkembang memandangkan industri halal global yang merangkumi produk dan perkhidmatan diunjurkan mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.

Katanya, kerajaan komited untuk meningkatkan bilangan usahawan yang mengeluarkan produk berstatus halal dengan beberapa pendekatan diambil antaranya menerusi program Jelajah Halal Malaysia (JHM) yang dilaksanakan Halal Development Corporation Bhd (HDC) iaitu agensi di bawah MITI.

“JHM bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pendedahan mengenai peluang menembusi bukan sahaja pasaran tempatan, tetapi juga pasaran eksport dalam industri halal.

“Sehingga kini, program JHM berjaya membabitkan lebih daripada 1,800 PMKS sejak dianjurkan pada 2022,” katanya ketika berucap di Program Jelajah Halal Malaysia@Paya Besar di Kuantan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, semalam.

Tengku Zafrul berkata, melalui JHM di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini, HDC berjaya membantu 15 usahawan menempatkan produk mereka di Pasar Raya Besar Mydin Tunjong melalui sesi padanan perniagaan.

Menyentuh mengenai sektor halal di Pahang, beliau berkata berdasarkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat 158 syarikat pemegang sijil halal di negeri itu setakat 1 Julai 2024.

“Bagaimanapun, saya yakin kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membuat pelbagai perancangan untuk meningkatkan jumlah syarikat yang khususnya berkaitan makanan dan minuman untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Katanya, beliau juga telah dimaklumkan mengenai beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk antaranya Kompleks Makanan Halal Gambang di Paya Besar dengan pihaknya sedia menawarkan perkhidmatan yang diperlukan bagi meningkatkan ekonomi di kawasan itu khususnya dalam industri halal.

Sementara itu, Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun ketika berucap berkata, Paya Besar adalah lokasi pertama JHM tahun ini sebelum diteruskan di Sabah hujung bulan ini dan di Pulau Pinang pada Oktober depan.

-BERNAMA