News

HDC bawa pulang potensi jualan halal RM345.2 juta dari Tokyo

KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) berjaya menjana potensi jualan bernilai kira-kira RM345.2 juta di JFEX Summer Show 2025 di Tokyo, yang diadakan pada 9 hingga 11 Julai 2025.

Ketua Kerjasama Antarabangsa HDC, Mohamad Romzi Sulaiman, dalam kenyataan hari ini berkata, penyertaan berkenaan mengukuhkan lagi komitmen Malaysia untuk mengembangkan operasi halal negara di Jepun dan kawasan sekitarnya.

“Penyertaan HDC di JFEX 2025 menyediakan platform strategik kepada 50 pengeksport yang mempunyai pensijilan halal Malaysia dan syarikat yang bersedia mengeksport untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran Jepun dan negara-negara jiran.

“Pameran ini bertujuan untuk mempromosikan jenama Halal Malaysia serta membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang bernilai kepada perniagaan Malaysia,” katanya.

HDC berkata, sepanjang tempoh tiga hari pameran itu, ia telah memudahkan lebih 100 mesyuarat perniagaan dengan perniagaan antara pempamer Malaysia dan pembeli Jepun dan antarabangsa berkualiti tinggi.

Libat urus ini menunjukkan terdapat permintaan yang kukuh terhadap produk halal yang ditawarkan oleh Malaysia.

Sumber: Berita Harian