News

102 Peserta Berjaya Tamatkan Kursus Auditor Dalaman Halal Bertauliah

KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Seramai 102 orang peserta terdiri daripada pelajar universiti, pekerja industri sektor halal dan usahawan halal negeri ini berjaya menamatkan kursus Auditor Dalaman Halal Bertauliah.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program yang bernilai RM3,700 seorang ini telah disubsidi sebanyak RM3,500 oleh Halal Development Corporation (HDC) dan Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) sebagai usaha melahirkan tenaga pakar halal tempatan bagi menyokong Pelan Induk Halal Negeri Terengganu.

“Pemegang Sijil Auditor Dalaman Halal Bertauliah adalah individu yang berkelayakan dan bertauliah untuk menjalankan audit halal dalaman di premis syarikat, kilang atau restoran, bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM dan pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena perasmian Program Sembang Usahawan@Besut, di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemunting di sini, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Ariffin telah menyampaikan sijil kepada lima peserta yang telah berjaya menamatkan kursus berkenaan sebagai tanda simbolik dan selebihnya akan diraikan pada majlis akan datang.

Katanya, kursus Auditor Dalaman Halal Bertauliah amat penting dalam membantu industri memelihara standard halal dan membangunkan keyakinan pengguna terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.

Sumber: TRDI