News

Mohd Afandi Salleh dilantik sebagai Pengerusi HDC

KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melantik Prof Dr Mohd Afandi Salleh sebagai Pengerusi berkuat kuasa serta-merta.

HDC berkata, sebagai Pengerusi, Mohd Afandi akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi global halal, dengan penekanan terhadap pengukuhan kerjasama antarabangsa, kepimpinan dasar dan kepimpinan pemikiran dalam ekosistem halal global.

“Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam hubungan antarabangsa, tadbir urus dan akademik dengan lebih dua dekad perkhidmatan dalam bidang pendidikan tinggi serta penglibatan dasar global,” kata HDC dalam satu kenyataan.

Mohd Afandi merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Hubungan Antarabangsa dari Durham University, United Kingdom; Sarjana Undang-Undang dalam Undang-Undang Antarabangsa dari Lancaster University, United Kingdom; serta Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan dalam Sains Politik dengan minor dalam Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dari Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

Sumber : Berita Harian