News

Permohonan sijil halal akan dipermudahkan: Zulkifli

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Kerajaan bercadang mempermudahkan lagi proses permohonan sijil halal bagi industri makanan dengan mengambil kira krisis koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri bagaimanapun berkata, proses itu tetap perlu memenuhi syarat dan piawaian.

“Saya bercadang, pemprosesan masalah sijil halal ini dipermudahkan bukan kita menyukarkan.

“Cuma kena menyempurnakan atau melengkapkan syarat-syaratnya, sebab kita faham dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, sudah tentu akan menyukarkan (pemohon),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI di sini hari ini.

Menurutnya, semua aspek akan diteliti dalam usaha menambah baik proses permohonan tersebut.

Menyentuh polemik pengambilalihan urusan berkaitan pensijilan logo halal oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Zulkifli berkata, butiran lanjut berhubung isu berkenaan akan dimaklumkan dalam sidang Dewan Rakyat, mulai 13 Julai ini.
“Kita akan beri satu jawapan yang tuntas, hal seperti ini saya perlu bersama dengan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita faham pasal HDC, jadi perlu bahagikan tugas atau memeterai kerjasama dengan pihak berkaitan supaya industri ini makin mantap.

“Buat masa ini, sebahagian daripada apa yang dilakukan memang di bawah JAKIM, tetapi berkaitan pelaksanaan hal atau perkara lain, HDC turut memainkan peranan,” katanya.

Isu pengambilalihan urusan berkaitan sijil logo halal oleh HDC sebelum ini tercetus ketika pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Susulan polemik berkenaan, Majlis Jemaah Menteri mengambil keputusan bahawa HDC akan terbabit sebagai jawatankuasa bersama yang memberi penekanan terhadap pembangunan industri halal, berbanding mengambil alih pengiktirafan sijil halal atau perkara lain.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf