News

2025: Makanan, farmaseutikal halal mampu raih pelaburan RM550 juta

KUALA LUMPUR 17 Mac – Menjelang tahun 2025,Malaysia dijangka meraih nilai pelaburan swasta bagi sektor perkhidmatan makanan dan farmaseutikal halal sehingga RM550 juta dengan jumlah eksport sebanyak RM440 juta.

Sektor perkhidmatan makanan dan farmaseutikal halal diunjur mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) yang positif iaitu masing-masing 18% dan 4.2% menjelang tempoh sama, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffein Sahari.

Katanya, perkhidmatan makanan dijangka mencatatkan hasil minimum RM40 bilion, sementara farmaseutikal pula mampu meraih RM1.6 bilion hasil dengan jumlah pekerjaan terkumpul melebihi 112,000.

“Saya yakin Malaysia akan menjadi penyumbang utama kepada penggunaan global bagi makanan dan produk halal.

“Kita telah menyaksikan pencapaian signifikan dalam membangunkan industri ini dan banyak negara mengiktiraf kepimpinan Malaysia dalam industri halal global.

Setakat ini, kita telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM16 bilion, nilai eksport sebanyak purata RM40 bilion setiap tahun dan 350,000 jumlah pekerjaan katanya ketika berucap secara maya di Webinar Halal Sectoral Roadmap Implementation 2021: Seizing Opportunities In Halal Industry For Pharmaceuticals And Food Services, hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin; Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia, Nazaria Baharudin; Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Datuk Dr. A Halim Basari; Penasihat Halal di Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohd Roslan Mohd Saludin, dan Timbalan Presiden Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias.

Majlis berkenaan turut menyaksikan HDC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam memperkasa penyelidikan dan analisis data bagi industri halal.

Dari kiri, Hairol Ariffein Sahari, Hanisofian Alias, Nazaria Baharudin, dan Mohd Uzir selepas menandatangani MoU antara kedua-dua pihak hari ini.

HDC diwakili oleh Hairol Ariffein dan DOSM pula diwakili oleh Mohd. Uzir.

Menerusi kenyataan media berhubung webinar berkenaan, Mohd. Uzir memberitahu, DOSM secara berterusan menambah baik peranannya dalam mempelbagaikan sumber data menerusi inisiatif datadan data pentadbiran.

“Dengan menandatangani MoU ini, lebih banyak perangkaan industri halal boleh dicapai menerusi analisis dan penyelidikan mendalam dengan kerjasama kedua-dua pihak.

“Ini sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk sebarang keputusan yang diambil berdasarkan bukti untuk kepentingan industri” katanya.

Di bawah Hala Tuju Sektor Halal, HDC turut melibatkan kedua-dua pihak berkepentingan sektor swasta dan awam untuk input perundingan, sebahagian daripada pendekatan yang inklusif dan holistik dalam mengembangkan industri.

Ini menyaksikan lebih 70 pihak berkepentingan dalam sektor perkhidmatan makanan dan farmaseutikal dijemput ke dua bengkel strategik antara Ogos dan Oktober tahun lalu.

Di bawah sektor perkhidmatan makanan, HDC Berjaya mengenal pasti enam hasil utama halal dengan tujuh inisiatif dan 17 campur tangan untuk menangani enam isu dihadapi sektor berkenaan.

Bagi sektor farmaseutikal pula, sebanyak empat hasil utama halal dengan enam inisiatif dan 21 campur tangan telah dikenal pasti untuk menangani lima isu dihadapi sektor itu.

Source : DagangNews.com