News

WHBC 2021 pertama kali secara maya

KUALA LUMPUR – Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 (WHBC 2021) anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bakal membincangkan tentang peranan dan sumbangan industri halal terhadap pemulihan ekonomi secara global.

Ketua Pegawai Eksekutif, Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffein berkata, persidangan kali ini akan membincangkan tentang peranan dan sumbangan industri halal terhadap pemulihan ekonomi secara global.

“Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak hujung 2019 memberi kesan serta membantutkan usaha pelbagai industri dalam persaingan mencapai matlamat pasaran halal global menjelang 2030.

“Konteks halal di sini bukan sahaja merujuk kepada makanan dan minuman mengikut landasan Islam, tetapi lebih luas merangkumi kepelbagaian produk dan perkhidmatan dalam bidang kesihatan, perubatan, kosmetik dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

WHBC 2021 edisi ke-13 itu akan membuka tirainya pada 9 September ini dan ia pertama kali dianjurkan secara maya.

Kira-kira 1,000 delegasi dari 35 negara dengan wakil daripada pelbagai sektor temasuk agensi kerajaan, pakar industri, pembuat polisi, ahli akademik dan juga orang awam akan menyertai acara tahunan tersebut.

Antara delegasi yang akan mengambil bahagian adalah wakil dari Australia, Kanada, Senegal, Afrika Selatan, Taiwan dan United Kingdom.

Hairol menjelaskan, industri halal di Malaysia telah berkembang untuk menjadi salah satu peneraju pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, sektor makanan dan minuman halal, termasuk sektor bahan-bahan halal telah menyumbang lebih 85 peratus daripada eksport halal keseluruhan Malaysia.

Sementara itu, kosmetik halal, produk penjagaan diri, industri kimia dan farmaseutikal halal pula menyumbang 13.1 peratus kepada eksport halal keseluruhan Malaysia pada suku pertama 2021.

“Industri halal kini menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), peranan dan sumbangan industri ini dalam melindungi kehidupan dan kesihatan setiap rakyat menjadi perkara yang sangat penting hari ini,” jelasnya.

Tambah beliau, berdasarkan kaji selidik khas yang diadakan tentang ‘Kesan Covid-19 Terhadap Ekonomi dan Syarikat/Firma Perniagaan – Pusingan 1’, keputusan menunjukkan sejumlah 67.8 peratus perniagaan rakyat Malaysia tidak membuat jualan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 10 April hingga 1 Mei 2020.

Bagi perniagaan yang bertahan pula, kira-kira separuh (53.4 peratus) sahaja daripada jumlah perniagaan keseluruhan iaitu sebanyak 4,094, mampu bertahan sebulan ke dua bulan sepanjang PKP.

Malahan, perniagaan-perniagaan tersebut hanya dapat bertahan selepas menawarkan potongan gaji separuh bulan terhadap para pekerja. Ia memberi impak kepada 44.3 peratus jumlah pekerja keseluruhan di mana 3.8 peratus daripada mereka terpaksa dihentikan kerja.

WHBC 2021 akan menangani perubahan dalam sektor halal yang membawa transformasi dalam industri berikutan pandemik yang melanda, selain menerokai pelbagai peluang dan cabaran ke arah pengurusan dan penggunaan yang lebih baik.

Persidangan tahunan anjuran HDC ini adalah satu acara terkemuka sebagai platform pemikiran kepimpinan global yang membawa komuniti ke dalam ekosistem halal.

Ia juga merupakan salah satu strategi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hub halal global selain menjadi platform menyatukan ketua-ketua kerajaan, ilmuan dan peman industri dalam membincangkan inisiatif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi halal global.

MalaysiaGazette