CEO Speeches

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN INISIATIF BAJET 2022 – “JADIKAN HALAL PILIHAN UTAMA ANDA”

TEKS UCAPAN

YANG BERBAHAGIA DATO’ SRI NORAZMAN AYOB

TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN INISIATIF BAJET 2022 – “JADIKAN HALAL PILIHAN UTAMA ANDA”

JUMAAT, 27 MEI 2022                JAM 3.00 PETANG

___________________________________________________________________

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera 

SALUTASI

YANG BERUSAHA ENCIK HAIROL ARIFFEIN SAHARI

Ketua Pegawai Eksekutif, HDC

Ahli Lembaga Pengarah HDC

Rakan-Rakan Strategik HDC

Pengurusan Kanan HDC

Rakan-Rakan Media

Dif-Dif kehormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

 

KANDUNGAN

 Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Kempen Inisiatif Bajet 2022 – Jadikan Halal Pilihan Utama Anda” yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran PKS dan mengukuhkan produk halal di ruang pasaran halal melalui platform E-dagang dan rangkaian runcit.

Industri Halal di Malaysia semakin berkembang dan sudah menjadi salah satu tunjang kekuatan ekonomi negara. Berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIAE), Malaysia kekal sebagai peneraju utama global dalam ekonomi Halal untuk sembilan tahun berturut-turut.

Petunjuk tersebut yang menilai ekosistem pembangunan ekonomi Islam meletakkan Malaysia di tangga pertama daripada 81 buah negara lain.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Laporan Ke­wadaan Ekonomi Islam Global (SGIE) 2020/21 menyaksikan Malaysia menduduki tempat teratas bagi makanan Halal, kewangan Islam, Pelancongan Mesra Muslim (MFT), Farmaseutikal dan Kosmetik. Malaysia turut tersenarai dalam 10 teratas untuk Media dan Rekreasi serta “Modest Fashion”. 

Prestasi eksport Halal negara telah mencatat pencapaian yang memberangsangkan bagi tahun 2021 di mana terdapat peningkatan sebanyak
19 peratus daripada RM30.5 billion kepada 3 billion, iaitu hampir 3 peratus daripada keseluruhan eksport.

Kategori produk seperti makanan dan minuman, bahan-bahan Halal (Halal ingredients), kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia dan farmaseutikal merupakan penyumbang terbesar kepada eksport Halal bagi tahun 2021.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Melangkah ke hadapan, pihak Kerajaan melalui HDC telah menetapkan sasaran yang tinggi untuk menarik dan menyepadukan sekurang-kurangnya 50,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke dalam industri Halal Malaysia melalui 3 pendekatan yang strategik iaitu;

  1. Menambah bilangan syarikat berstatus halal;
  2. Menambah bilangan pengeksport dalam kalangan syarikat berstatus halal; dan
  • Menempatkan (placement) ’talent’ halal di syarikat-syarikat berstatus halal.

Industri Halal memainkan peranan yang penting dalam memangkin ekonomi negara. Pihak Kerajaan turut meletakkan sasaran yang tinggi bagi industri Halal dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang dijangka akan menyumbang 8.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah pendorong utama kepada pertumbuhan industri Halal negara yang menyumbang hampir 40 peratus daripada keseluruhan KDNK yang berjumlah RM500 bilion.

Sehingga kini, terdapat 1.2 juta PMKS yang bergiat aktif iaitu 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan di Malaysia. Saya yakin kumpulan PMKS ini mempunyai potensi yang besar dalam memanfaatkan peluang luas dalam industri Halal berikutan 70 peratus tenaga kerja negara datang dari sektor PMKS.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi digital (digital economy), HDC telah menubuhkan Halal Integrated Platform (HIP) yang merupakan sebuah platform atas talian yang akan menjadi penghubung utama antara sektor mikro dan PKS halal tempatan kepada pakar-pakar industri halal dari seluruh dunia. Perkongsian pengetahuan, kepakaran serta sumber-sumber lain yang diwujudkan melalui HIP mampu memperkasa ekosistem halal secara keseluruhan. HIP juga akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi-agensi utama yang lain seperti MATRADE, MIDA, MDEC dan lain-lain bagi menjalin hubungan dan kerjasama strategik yang bakal membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang baharu.

Jadikan Halal Pilihan Pertama Anda

Dalam usaha melonjakkan pertumbuhan industri Halal ke tahap yang baharu, HDC melalui Kempen Inisiatif Bajet 2022 – telah merangka kempen “Jadikan Halal Pilihan Utama Anda”. Kempen ini merangkumi dua program yang bakal menjadi tonggak utama untuk membantu meningkatkan produktiviti, jualan dan penjenamaan pemain industri Halal negara dalam usaha mengembangkan produk dan industri Halal di dalam kalangan PMKS.

Salah satu program yang bakal diketengahkan adalah Program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS. Program ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan lebih banyak produk dan perkhidmatan Halal ke pasaran baharu yang lebih besar merangkumi pasaran tempatan dan antarabangsa. Penyediaan fasilitasi kebolehpasaran produk halal PMKS tempatan yang dipasarkan melalui pasaraya yang mempunyai rangkaian antarabangsa bertujuan untuk meningkatkan jumlah jualan dan prestasi produk halal Malaysia di pasaran domestik serta pasaran eksport melalui rangkaian hypermarket seperti Lotuss’ dan Lulu.

Program ini juga akan bergerak seiring dengan Program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS. Program ini akan menyediakan fasilitasi penjenamaan bagi produk halal PMKS yang melaksanakan penjualan secara atas talian (e-commerce) bagi meningkatkan capaian dan prestasi jualan serta mengatasi isu jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal luar negara. Ini juga selaras dengan usaha Kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi meningkatkan keupayaan dan kemampuan negara menguasai 4IR, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Industri pasaran Halal negara mempunyai banyak ruang dan potensi untuk direbut sama ada di peringkat domestik atau global. Namun, pihak Kerajaan memahami terdapat kelopongan di dalam keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran Halal.

Oleh yang demikian, Kerajaan melalui HDC menyasarkan supaya kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PMKS seluruh negara, seterusnya meningkatkan daya saing industri Halal yang inklusif. Kerajaan telah mensasarkan 120 syarikat Halal PMKS dalam meningkatkan kebolehpasaran produk yang kini telah mula digerakkan bersama Lotuss’ Store dan Lulu International. Bagi program penjenamaan digital pula, sebanyak 250 syarikat telah disasarkan untuk mendapat fasilitasi melalui Foodpanda Malaysia.

Penutup

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Program inklusif ini penting bagi setiap pemain industri Halal serta PMKS dalam melaksanakan inisiatif penambahbaikan berterusan ke arah mengembangkan industri Halal negara.

Saya juga menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha memartabatkan industri Halal negara sebagai hab Halal dunia. Kita perlu sentiasa bersedia dan sanggup meneroka peluang yang terbuka luas dalam industri Halal yang dijangka akan memberikan imbuhan serta pulangan yang cukup bernilai.

Saya percaya melalui Kempen Inisiatif Bajet 2022 – Jadikan Halal Pilihan Utama Anda yang dijalankan oleh pihak Kerajaan dan HDC, dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti LULU, LOTUS’S, dan Foodpanda, mampu memberi impak dan faedah positif dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri Halal negara.

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan ‘Pelancaran Kempen Inisiatif Bajet 2022 – Jadikan Halal Pililhan Utama Anda ‘.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

-tamat-