UCAPAN ALUAN
YANG BERUSAHA ENCIK HAIROL ARIFFEIN SAHARI
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
HALAL DEVELOPMENT CORPORATION BERHAD (HDC)
Di MAJLIS PELANCARAN KEMPEN INISIATIF BAJET 2022:
‘JADIKAN HALAL PILIHAN UTAMA ANDA’
23 JUN 2022, KHAMIS
DI LOTUS’S AMPANG
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.
SALUTASI
YANG BERHORMAT DATO’ RASOL BIN WAHID
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
MR KENNETH CHUAH JIN KIAT, President Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd
RAKAN-RAKAN MEDIA
TUAN-TUAN DAN PARA HADIRIN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN
- Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini, dalam Majlis Pelancaran Kempen Inisiatif Bajet 2022: ‘Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’ bersama Lotus’s Stores (Malaysia) yang merupakan salah satu dari Rakan strategik HDC dalam menjayakan Kempen Inisiatif Bajet 2022 ini.
- Bagi pihak HDC, saya juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Rasol Bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di atas kesudian meluangkan masa untuk menyokong usaha HDC dan Lotus bagi memastikan industri Halal negara terus berkembang dan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negara.
- Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Lotus’s Store (Malaysia) di atas majlis Pelancaran Kempen Inisiatif Bajet 2022 yang diadakan pada hari ini, dalam usaha untuk mempromosikan kempen ini dengan lebih agresif lagi di kesemua 64 Cawangan Lotus Stores di seluruh pelusuk negara.
- Untuk makluman Yang Berhormat dan semua hadirin juga , pada hari ini, masa yang sama , satu lagi Rakan Strategik kami iaitu LULU Hypermarket Malaysia turut mengadakan Majlis Pelancaran Kempen yang sama di Lulu Hypermarket, Persiaran Capsquare yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Ini menunjukkan komitmen rakan-rakan strategik kami dalam menjayakan ‘Kempen Jadikan Halal Pilihan utama Anda” ini.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
- Negara kini dalam fasa peralihan ke endamik. Namun Pandemik COVID-19 masih dirasai oleh golongan PMKS. Kebanyakan mereka masih bergelut untuk bangkit kembali, sehingga terdapat ramai pengeluar produk halal tidak dapat bertahan dan golong tikar’.
- Pandemik COVID-19 ini juga menyedarkan kita semua tentang kepentingan pendigitalan dan strategi pemasaran yang tepat untuk memastikan produk-produk halal yang dihasilkan kekal berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
- Justeru, sebagai penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan membangunkan ekosistem industri halal, HDC telah melaksanakan dan merancang pelbagai program dan inisiatif untuk membantu pemain industri halal khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk bangkit kembali.
- Sebagai contoh, HDC telah melancarkan Program Pembiayaan PKS Go Halal dan Platform Bersepadu Halal bagi membangunkan ekosistem halal yang kondusif khususnya untuk golongan PMKS meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa.
- Malah struktur tadbir urus dalam pembangunan industri Halal sentiasa ditambah baik melalui Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang diurusetiakan oleh HDC dengan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian yang berkaitan.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
- Bagi memastikan usaha untuk mewujudkan ekosistem halal yang kondusif khususnya bagi membantu PMKS untuk bangkit kembali, HDC melalui Inisiatif Bajet 2022 telah merangka kempen ‘Jadikan Halal Pilihan Utama Anda’.
- Kempen berterusan sepanjang tahun ini merangkumi dua program yang bertujuan memastikan produk-produk halal tempatan dapat meningkatkan jualan dan capaian serta mengatasi jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal dari luar negara.
- Pertama, kempen Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS sedang diadakan secara fizikal selama 3 bulan bermula dari April sehingga Julai melibatkan 64 cawangan Pasar Raya Besar Lotus’s. Lotus’s telah dipilih sebagai salah satu “penggerak” kempen ini berdasarkan keupayaan dan komitmen syarikat ini dalam mempromosi produk-produk halal tempatan.
- Kempen ini untuk membantu sekurang-kurangnya 120 syarikat halal PMKS mengembangkan sayap mereka ke pasaran baharu yang lebih besar.
- Dalam masa sama, lebih dari 250 syarikat halal PMKS pula dibantu untuk lebih ‘visible and prominent’ di alam maya melalui kempen kedua iaitu, Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS telah bermula Jun sehingga Julai ini yang turut melibatkan Food Panda Malaysia sebagai salah satu dari rakan strategik kempen ini .
- Untuk kedua-dua kempen ini, kami menyasarkan setiap peserta dapat meningkatkan jualan mereka sebanyak 20 sehingga 30 peratus sepanjang tempoh program ini dilaksanakan serta jenama produk halal PMKS dapat diperkukuhkan lagi berbanding sebelum ini.
- Bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, kedua-dua program ini akan dipantau oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), Kementerian Kewangan. Insya Allah dengan kerjasama semua pihak matlamat yang ditetapkan akan dapat direalisasikan.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
- Saya amat berharap kempen ini dapat memupuk pengguna di negara ini untuk menjadikan produk halal pilihan utama dalam kehidupan seharian.
- Akhir kata, terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Rasol Bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna , Lotus Stores (Malaysia) dan rakan-rakan strategik di atas komitmen yang tinggi untuk bersama-sama memastikan semua sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
Sekian, Terima kasih. Wassalamualaikum WBT