CEO Speeches

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN JELAJAH HALAL MALAYSIA 2022 – NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

YANG BERUSAHA ENCIK HAIROL ARIFFEIN SAHARI

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

HALAL DEVELOPMENT CORPORATION BERHAD

SEMPENA  MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN JELAJAH HALAL MALAYSIA 2022 – NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

20 JULAI 2022

GRAND DARULMAKMUR HOTEL KUANTAN, PAHANG

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Keluarga Malaysia

Yang Amat Berhotmat Dato’ Sri  Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang

 

YB EXCO Kerajaan Negeri

YBhg. Dato Razihan Bin Adzharuddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)

 

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang

Pengarah MITI Pahang

Pengarah MIDA Pahang

Pengarah PKNP Pahang

SSM

SME CORP

Jabatan Penerangan

PUNB Pahang

 

Wakil dari semua Agensi-Agensi Kerajaan Negeri Pahang yang turut serta

Pegawai – Pegawai Kanan Kerajaan;

Pengurusan Kanan dan Warga kerja HDC

Rakan-Rakan Strategik HDC ,

Wakil-wakil  media,

 

Tuan-Tuan, Puan-Puan, Para Usahawan dan Para Pengusaha Industri Halal Negeri Pahang yang saya hormati sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam majlis Jelajah Halal Malaysia 2022 bagi peringkat Negeri Pahang di sini pada petang ini.

 

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang yang pada hari ini diwakili oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Norolazali Sulaiman atas kesudian untuk menyempurnakan Perasmian Penutupan program ini.

 

  1. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, agensi-agensi yang terlibat dan para peserta atas komitmen yang tinggi bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memastikan industri halal terus berkembang di negeri yang bertuah ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati

 

  1. Pahang mempunyai potensi yang amat besar dalam industri halal dengan keadaan geografinya yang luas, sumber bahan mentah yang banyak dan kedudukannya yang strategik.

 

  1. Usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasakan industri ini juga telah membuka banyak peluang kepada usahawan dan syarikat-syarikat tempatan untuk terus berkembang dalam sektor yang bernilai 3 trilion USD ini.

 

  1. Malah kerjasama yang erat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat telah mewujudkan sinergi untuk merencanakan agenda pembangunan industri halal yang lebih holistik merangkumi peserta industri dari pelbagai peringkat, saiz dan jenis perniagaan.

 

  1. Justeru, Jelajah Halal Malaysia atau JHM telah menjadi platform untuk memacu dan menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan di negeri ini ke dalam ekonomi halal.

 

  1. Melalui program ini, kita menyasarkan lebih daripada 50 buah syarikat tempatan akan dibimbing di bawah program-program HDC seperti Program Latihan Halal, menjadi ahli dalam Platform Bersepadu Halal (HIP) dan pelaburan di taman-taman halal.

 

  1. JHM akan membuka ruang pasaran yang baharu atau lebih besar sehingga ke peringkat global serta menambah kemahiran, latihan semula dan penempatan pekerjaan untuk para graduan dan individu yang sedang mencari pekerjaan.

 

Hadirin hadirat yang saya muliakan

 

  1. Bagi tahun 2021, Malaysia telah mengeksport sebanyak RM36.3 bilion produk dan perkhidmatan halal, meningkat 19% berbanding tahun 2020 dan dijangka terus meningkat kepada RM56 bilion pada tahun 2025.

 

  1. Justeru, menjadi tugas HDC sebagai agensi penyelaras pembangunan ekosistem Halal Malaysia untuk menarik minat lebih ramai Keluarga Malaysia untuk turut terlibat sama dalam sektor ini.

 

  1. Pertambahan bilangan syarikat yang mempunyai sijil Halal di masa akan datang perlu disokong oleh tenaga kerja yang mahir dalam bidang halal dari kalangan anak tempatan. Perkembangan ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan halal profesional baik di peringkat domestik malah antarabangsa.

 

  1. Bidang halal bukan sahaja menjana peluang perniagaan yang besar malah membuka peluang pekerjaan di samping memberikan nilai tambah ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti kepada anak tempatan.

 

  1. Oleh itu, HDC melalui Halal Training Institute atau HTI berperanan untuk meningkatkan pembangunan bakat halal melalui penyediaan kandungan latihan berkaitan halal yang terkini, program latihan yang holistik bagi memastikan pematuhan halal sepenuhnya dan mempromosikan faedah serta kelebihan pematuhan halal.

 

  1. Sejak 2011, HDC telah melatih lebih 60,000 individu melalui program latihan pengurusan halal di mana 4,977 dilatih pada 2021, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Pandemik COVID-19 tidak menghalang HDC untuk terus membangunkan bakat yang berupaya mencorak masa depan untuk industri ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

 

  1. Dalam masa yang sama, HDC telah membangunkan Platform Bersepadu Halal atau HIP yang bertujuan menghubungkan pengusaha-pengusaha halal di bawah organisasi kami dengan pihak berkepentingan utama di bawah satu platform.

 

  1. Platform ini berpotensi menghubungkan lebih daripada 200,000 pemain industri Halal tempatan untuk mengembangkan kemampuan dan keupayaan perniagaan mereka.

 

  1. Platform ini juga dapat membantu para usahawan meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi untuk mendapatkan akses pasaran domestik dan antarabangsa sekali gus memenuhi corak aktiviti perniagaan digital masa kini.

 

  1. Tumpuan akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta mikro yang akan dapat mengakses program, perkhidmatan dan kemudahan yang bertujuan membantu mereka menjadi peserta aktif dalam ekosistem halal. Ini merupakan salah satu perancangan HDC untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

  1. Selain itu, saya berharap pemain industri halal dapat menggunakan HIP sebagai langkah peralihan daripada peniagaan konvensional kepada dalam talian.

 

Hadirin hadirat yang saya muliakan

 

  1. Ketika seluruh dunia sedang bergelut untuk pulih daripada Pandemik COVID-19, kini kita berhadapan dengan cabaran baharu iaitu konflik geopolitik dan perubahan iklim alam semulajadi dan iklim ekonomi yang ekstrem.

 

  1. Keadaan ini menyebabkan dunia berubah dengan radikal. Sekuriti makanan menjadi cabaran utama pada hari ini. Tekanan kepada rantaian bekalan menyebabkan harga bahan makanan asas melambung tinggi di peringkat global.

 

  1. Bagaimanapun, dari sudut yang positif, krisis ini turut menghadirkan peluang kepada kita. Inilah masanya untuk kita menggunakan sumber yang ada bagi meneroka pasaran-pasaran baharu.

 

  1. Justeru, HDC sedia membantu para usahawan dan pengusaha halal memperkasakan perniagaan mereka dan seterusnya membawa perniagaan mereka merentasi ke pasaran global.

 

  1. Kami menawarkan khidmat Perundingan dan Nasihat Halal bagi membantu para usahawan untuk bersiap siaga menyertai industri halal dengan mengintegrasikan keperluan mengikut perniagaan masing-masing sejajar dengan evolusi industri halal global.

  

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati

 

  1. Industri halal memainkan peranan yang penting dalam menjamin ketahanan ekonomi sesbuah negara. Ini jelas dilihat apabila banyak negara bukan Islam sedang giat menerajui industri halal walaupun mempunyai populasi Islam yang agak kecil seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand, Brazil dan China.

 

  1. Justeru, HDC sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pahang sebagai hab halal utama di Malaysia dengan memudahcara kemasukan penggiat industri ke dalam ekonomi halal tempatan serta meningkatkan jumlah eksport halal dan jumlah pelaburan langsung ke kawasan-kawasan industri di Negeri Pahang terutamanya Taman Halal Pahang, di Kawasan Perindustrian Gambang, Kuantan.

 

  1. Akhir kata, saya berharap semua pihak khususnya pengusaha-pengusaha halal di negeri ini dapat mengambil peluang kepada pelbagai kemudahan dan insentif yang telah disediakan. HDC sedia membantu para usahawan untuk menceburi bidang ini pada bila-bila masa.

 

  1. Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Wan Rosdy, Yang Berhormat Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Kerajaan Negeri Pahang, UPEN dan semua agensi-agensi yang terlibat dan kesemua peserta yang memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan Jelajah Halal Malaysia – Pahang ini berlangsung dengan jayanya

 

-End-