News

HDC bekalkan 200 tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal ke Australia

MELBOURNE, 5 Sept (Bernama) — Halal Development Corporation Bhd (HDC), melalui Program Perantis Halal (HAP) yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) dijangka menyediakan penempatan pekerjaan untuk 200 tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal untuk dilatih dan dihantar ke Australia.

Pengarah Eksekutif MISDEC Haiqal Syukri Jantan berkata Majlis Penyelarasan Islam Victoria (ICCV) Australia memerlukan 150 hingga 200 tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal dalam dua bidang khusus, iaitu penyembelihan dan teknologi makanan.

“Kami mengadakan beberapa perbincangan dengan ICCV semasa Litar Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2022 (WHBCC) di Melbourne dan melalui pertemuan itu, ICCV telah menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan MISDEC bagi tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal,” katanya kepada Bernama.

Haiqal Syukri berkata ICCV akan melawat MISDEC untuk perbincangan lanjut.

Beliau berkata minat ICCV menunjukkan bahawa industri halal Malaysia, termasuk tenaga kerjanya yang profesional dan mahir dalam industri halal mampu berkembang di peringkat global.

HAP ialah program pembangunan latihan yang bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja dalam industri makanan dan minuman, farmaseutikal, teknologi makanan dan berkaitan halal.

Sementara itu, Pengurus Kualiti ICCV Ibrahim Karadag berkata antara kriteria yang diperlukan daripada tenaga kerja Malaysia yang profesional dan mahir dalam industri halal adalah dalam bidang sains makanan, kimia makanan dan teknologi makanan.

“Berdasarkan perkembangan yang pesat dalam industri halal dan terdapat banyak proses yang berkembang dengan kaedah pemprosesan makanan baharu seperti proses pengemulsian dan pengekstrakan, justeru, kami memerlukan individu yang mempunyai pemahaman mengenai proses ini dan pengetahuan yang luas.

“Saya percaya bahagian teknikal adalah bidang yang amat diperlukan, untuk proses, prosedur dan penilaian bahan. Di sinilah kami memerlukan paling ramai individu kerana mengikut standard ISO, juruaudit teknikal perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun. Ia adalah komitmen terhadap kerjaya, tetapi ia adalah kerjaya yang maju,” kata Karadag kepada Bernama.

ICCV ialah badan pensijilan halal yang terbesar di Australia dan satu-satunya pihak berkuasa yang diiktiraf sepenuhnya oleh Jabatan Pertanian dan Perikanan Australia untuk dieksport ke semua negara pengimport halal.

Source : BERNAMA