News

Tingkat program kemahiran galak Muslim jadi peneraju industri halal

Umum mengetahui ekonomi negara bahkan seluruh dunia terkesan dan mengalami kegawatan agak serius akibat pandemik COVID-19 yang melanda global sejak 2020.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini melaporkan jumlah pekerja diberhentikan kerja akibat penularan COVID-19 adalah sebanyak 155,893 individu sejak 2020 sehingga Julai 2021. Penutupan syarikat akibat mengalami masalah kewangan kritikal menjadi antara punca pembuangan pekerja.

Dijangkakan dalam sebuah kajian akademik, beban hutang negara akan kian meningkat sekiranya Pelan Rangsangan Ekonomi negara tidak membuahkan hasil dan merawat ekonomi yang sedang sakit ini.

Bagaimanapun, situasi ekonomi halal dilihat agak berbeza berlaku pada masa kini sama ada di peringkat global atau domestik. Firma penyelidikan dan perundingan, Frost & Sullivan melaporkan ekonomi halal sedang menunjukkan trend meningkat memberangsangkan.

Firma bebas ini meramalkan ekonomi halal global bakal mencecah AS$4.96 trilion (RM22.34 trilion) menjelang 2030 daripada AS$3 trilion pada 2020.

Meskipun industri halal mengalami kekurangan bekalan dalam pasaran, namun permintaan kepada produk ‘halalan toyyiban’ sentiasa dicari pengguna sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Menurut satu kajian diterbitkan Grand View Research Inc, penduduk beragama Islam global dijangka berkembang sebanyak 7.0 peratus daripada 23 peratus penduduk dunia kepada 30 peratus menjelang 2030.

Secara keseluruhan, ekonomi halal dunia turut dianggarkan bernilai lebih AS$3 trilion menjelang 2023, menurut laporan Nikkei Asian Review.

Frost & Survillian meramalkan, tiga faktor pemacu permintaan produk halal semakin meningkat ialah demografi penduduk menggalakkan, dasar kerajaan dan inisiatif syarikat swasta memberangsangkan.

Malaysia perlu rebut peluang

Sementara itu, laporan Thomson Reuters dan DinarStandard menyifatkan Malaysia sebagai negara dalam kedudukan paling baik untuk merebut peluang ekonomi Islam.

Antara realiti terkini menggambarkan fenomena mencari produk halal ini dapat dilihat daripada sambutan menggalakkan ketika Pameran Halal Antarabangsa 2022 (MIHAS).

Pameran ini merekodkan jualan sebanyak RM2.36 bilion melepasi sasaran asal RM1.9 billion. MIHAS KE-18 dikendalikan secara hibrid adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Melihat kepada trend ini, jelas sekali masyarakat dunia secara umumnya dan rakyat boleh mula berjinak-jinak dengan pasaran produk halal. Dengan itu, program kefahaman dan kemahiran halal perlu disebar luas kepada segenap lapisan masyarakat.

Strategi negara mengetengahkan pembangunan industri halal, selain pendidikan menunjukkan industri halal mampu bergerak laju dan jauh kerana kesedaran dan tahap pemikiran masyarakat dunia hari ini berubah ke arah ilmu pengetahuan mapan mengenai impak produk ‘halalan toyyiban’ kepada kualiti kehidupan mereka.

Aspek halal ini bukan hanya tertumpu kepada pemakanan dan minuman sahaja, namun berkembang kepada bidang farmaseutikal dan penjagaan diri dan kosmetik halal, fesyen halal, ekonomi halal, perhotelan halal, pelancongan dan hospitaliti halal, logistik dan servis pengangkutan halal serta latihan dan runding cara halal.

Bagi pengguna Muslim, fenomena mencari produk atau keluaran halal itu satu keperluan fardu kian menjadi budaya kerana populasi rakyat beragama Islam mendominasi pasaran negara.

Program kemahiran halal

Melihat kepada banyaknya percambahan bidang boleh dikaitkan dengan halal ini, sewajarnya program kemahiran halal secara percuma diteruskan dan ditambah terutama kepada pihak tidak berkemampuan dari segi ekonomi.

Ia bertujuan memantapkan lagi pemahaman rakyat secara menyeluruh sebelum cuba meneroka peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan negara.

Hal ini kerana, dengan ilmu dan kefahaman, strategi pembangunan ekonomi dapat memaksimumkan kualiti dan meminimumkan kesilapan yang akhirnya merugikan.

Program tajaan penuh agensi kerajaan menguasai industri halal amat membantu orang awam yang ingin meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Apa yang pasti, program anjuran kerajaan dengan kerjasama Pusat Latihan Halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) amat membantu orang awam kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 untuk meneroka peluang pekerjaan baharu dalam sektor halal.

Antara contohnya, baru-baru ini syarikat Halal Development Corporation (HDC) di bawah Halal Training Institute (HTI) dengan kerjasama JAKIM menganjurkan program kemahiran halal iaitu Program Tajaan Penuh Kemahiran Semula (Reskilling) kepada mereka berminat meneroka peluang baru dalam halal sektor.

Program ditaja penuh atas inisiatif PENJANA (Tabung Kumpulan Wang COVID-19) itu menyasarkan untuk memberi kemahiran kepada rakyat Malaysia dalam memenuhi permintaan pasaran industri dan kerjaya.

Program kemahiran semula mengenai halal diisi pelatih dan perunding profesional, dilihat mampu membuka mata dan minda rakyat mencipta satu sumber pendapatan baharu.

Bahkan, program sedemikian memberi input mengenai Sistem Jaminan Halal, Pengurusan Makanan, Amalan Pengeluaran Baik (GMP) dan Asas Industri Halal (HIF).

Industri halal sebenarnya berupaya meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan tenaga kerja halal, memacu pembangunan industri termasuk penyertaan Bumiputera, meningkatkan daya saing produk dan menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Source: Berita Harian