CEO Speeches

Majlis Perasmian Program Kempen Inisiatif Bajet 2022 Sempena Program Jelajah Halal Malaysia Sarawak

TEKS UCAPAN

YANG BERBAHAGIA DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG
PREMIER SARAWAK SEMPENA JELAJAH HALAL MALAYSIA 2022  PERINGKAT SARAWAK

___________________________________________________________________

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Keluarga Malaysia dan Salam Sarawak Ku Sayang,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan keizinan-Nya, dapat kita berkumpul sempena Program Inisiatif Bajet 2022 sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Peringkat Sarawak pada hari ini. 

Bagi pihak rakyat Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta warganya dan juga Halal Development Corporation kerana memilih Sarawak sebagai salah satu destinasi penting dalam Program Inisiatif Bajet 2022 sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022.

Saya menyifatkan ini sebagai satu indikator penting terhadap pembangunan industri Halal di negeri ini meskipun Sarawak terkenal dengan kepelbagaian etnik dan suku kaumnya.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

Malaysia bukan lagi nama asing dalam industri Halal mahupun ekonomi Islam. Negara ini sering menjadi rujukan dan panduan kepada model Halal yang ingin diterapkan oleh negara-negara serantau serta negara di zon Eropah.

Sebagai contoh, sijil Halal Malaysia dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sehingga negara-negara maju yang terkenal dengan dasar amat ketat dalam hal pengimportan barang-barang makanan ke negara mereka seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, New Zealand, Australia dan banyak negara maju yang lain mengiktirafnya.

Ini merupakan satu penghormatan besar kepada negara dan saya difahamkan terdapat beberapa negara seperti Vietnam, Kemboja, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Rusia, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan yang ingin mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia di peringkat global untuk membentuk pembangunan rangka ekosistem industri halal.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob juga memperuntukkan sebanyak RM3.4 juta bagi membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dan semakan status halal produk luar negara.

Ini merupakan satu lagi langkah proaktif oleh Kerajaan Persekutuan yang sentiasa mendahului negara luar dengan memastikan industri Halal ini mampu menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

Kerajaan Sarawak sedar akan potensi yang boleh kita terokai daripada industri Halal ini kepada seluruh Keluarga Malaysia Sarawak terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Saya difahamkan Majlis Islam Sarawak (MIS) telah merangka dan merancang hala tuju yang strategik bagi memperkasakan pengurusan halal di Sarawak termasuk mengeluarkan Surat Perakuan Halal Majlis Islam Sarawak untuk mengembangkan ekonomi industri halal saiz mikro.

Sehingga Ogos lepas, sebanyak 746 premis di negeri Sarawak telah mendapat pengiktirafan sijil Halal dan ini akan menarik lebih banyak pelancong dari negara Timur Tengah ke negeri ini dan juga pelaburan yang mesra Muslim.

Mengenai sijil Halal ini, saya berharap MIS akan bekerjasama dengan lebih erat bersama pihak HDC untuk memastikan perusahaan yang mahu meneroka industri Halal dapat direalisasikan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang diperkenalkan oleh Kerajaan adalah satu manifestasi bahawa industri Halal merupakan kekuatan nasional yang harus sentiasa diberi keutamaan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kerajaan Sarawak menyokong penuh pelaksanaan HIMP 2030 yang bersandarkan kepada 7 Teras Strategik utama iaitu menggalakkan tawaran industri Halal yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing; membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing; serta memacu peningkatan sosio-ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan menyeluruh.

Pelan ini juga dilihat bergerak seiring dengan Strategi Pembangunan Ekonomi Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan terhadap sektor pertanian untuk mengeluarkan makanan berkualiti dari segi nutrisi, baik untuk diet dan kesihatan seterusnya memacu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

PCDS 2030 juga akan menfokuskan kepada pembangunan infrastruktur digital secara usaha sama dengan sektor swasta yang memberi penekanan kepada pengeluaran serta pemasaran untuk menjadikan sektor pertanian lebih lestari, seterusnya menjamin sekuriti makanan negara dan dunia amnya.

Saya turut mengikuti Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBCC) 2022 di Australia pada September lalu yang menekankan kepada aspek rantaian bekalan makanan yang sudah menjadi isu global.

Saya berharap agenda PCDS 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih hasil dan produk pertanian berkualiti tinggi menjelang 2030 dapat memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa terutamanya dalam pasaran Halal dunia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

 Pada 7 Oktober yang lalu, Kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, dan kemakmuran ekonomi negara.

Terdapat beberapa inisiatif yang difokuskan bagi merancakkan industri Halal negara dengan peruntukan sebanyak RM92 juta yang merangkumi:

Pertama, meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap pada tahun depan dengan peruntukan RM59 juta

Kedua, melaksanakan program Malaysia Services and Halal Global bagi mempromosi produk halal di pasaran global dengan peruntukan RM8 juta

Ketiga, melaksanakan inisiatif pembangunan industri halal bagi meningkatkan pematuhan pensijilan halal dan mengadaptasi inovasi halal dengan peruntukan RM6.5 juta

Keempat, memperkenalkan Wakaf Halal PKS OKU bagi melaksanakan program onboarding kepada OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan halal dengan peruntukan RM2.5 juta

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan Perdana Menteri yang berhasrat untuk meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis dengan harapan mampu mendominasi industri Halal dunia.

Pelaksanaan projek ini juga akan memberi manfaat dan impak besar kepada sosio ekonomi penduduk dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi di bandar baru Tanjung Manis.

Meskipun Bajet 2023 ini belum diluluskan namun jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk meneruskan segala yang telah dibentang ini harus disokong sepenuhnya kerana peruntukan kepada industri Halal adalah yang tertinggi berbanding bajet pada tahun 2022.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Industri Halal sudah meraih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa dan manfaatnya turut dirasai oleh seluruh Keluarga Malaysia. Saya yakin perancangan dan dasar yang telah dirangka menerusi RMKe-12 dan HIMP 2030 mampu membawa industri Halal ke satu peringkat yang lebih tinggi lagi.

Insya-ALLAH, selagi saya menerajui Sarawak, industri Halal akan sentiasa diberi keutamaan dalam arus pembangunan negeri seterusnya dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Saya juga ingin memberi jaminan bahawa program seumpama Jelajah Halal Malaysia ini akan terus diperhebatkan di negeri ini memandangkan kita mahu memacu industri Halal seiring dengan negeri-negeri lain.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada HDC , MINTRED , MIS dan JAIS serta semua agensi kerajaan Negeri dan syarikat yang  terlibat dan seluruh ahli jawatankuasa majlis yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Dengan lafaz Bismillahirrahman nirrahim , dengan ini saya merasmikan Program Inisiatif Bajet 2022  sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022.

 Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

-tamat-