News

Industri Halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion pada 2030 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 23 Mac – Industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion (RM500 bilion) pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1% menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya akan terus menambah baik semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam pasaran halal global selain memanfaatkan jumlah penduduk Islam global yang mencecah dua bilion.

“Dalam mencapai objektif ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya telah memulakan usaha untuk meletakkan industri ini sebagai sektor yang menguntungkan dan berdaya saing, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran HIMP 2030 di Parlimen pada Khamis.

HIMP 2030 dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

Tengku Zafrul berkata berdasarkan HIMP 2030, yang bertemakan ‘Ke Arah Halal Malaysia yang Menyerlah di Peringkat Global’, sebanyak 23 inisiatif telah dikenal pasti untuk menambat kukuh tujuh teras strategik dan memanfaatkan peluang serta menangani cabaran.

“MITI berbesar hati untuk menjadi pemacu strategik HIMP 2030, dengan sokongan pelaksanaan berkesan oleh agensi kami, Halal Development Corporation,” katanya.

https://www.dagangnews.com/content/industri-halal-malaysia-diunjurkan-berkembang-kepada-as1132-bilion-pada-2030-tengku-zafrul-25086 2/6

24/03/2023, 08:05 Industri Halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion pada 2030 – Tengku Zafrul | DagangNews

Beliau berkata antara keutamaan MITI bagi 2023 adalah mengembangkan perdagangan, dengan barangan dan perkhidmatan halal boleh berperanan secara lebih ketara.

Tujuh teras strategik itu adalah menambah baik polisi dan perundangan yang lebih mesra industri halal; mewujudkan ruang pasaran yang baharu dan lebih luas untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia; mewujudkan kumpulan pakar dan profesional industri halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global serta mempertingkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berintegrasi.

Tiga teras lain adalah memupuk pemikiran kepimpinan; melahirkan lebih ramai ‘juara halal’ dalam kalangan peserta industri tempatan serta menggalakkan penyertaan bumiputera yang lebih berdaya saing di dalam industri halal.

“HIMP 2030 akan dipacu oleh lima keberhasilan utama, yang termasuk mempunyai industri halal domestik yang teguh dan pelbagai; menawarkan pematuhan syariah yang menyeluruh; mempertingkatkan pemudahan untuk menjalankan perniagaan di Malaysia; mempunyai ekosistem perniagaan yang kompetitif; dan mempromosikan ‘Halal Malaysia’ di peringkat global,” katanya.

Menurut MITI, eksport halal Malaysia meneruskan trajektori pertumbuhan pada 2022 dengan jumlah nilai eksport halal sebanyak RM59.46 bilion, meningkat RM23.16 bilion atau 63.8 peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.

Dari segi sumbangan sektor, makanan dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM27.84 bilion, mewakili 46.8 peratus daripada jumlah eksport halal Malaysia.

“Penyumbang kedua terbesar adalah bahan halal, yang turut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 73.1 peratus daripada angka tahun lepas kepada RM23.35 bilion atau 39.3 peratus daripada jumlah eksport halal,” jelas MITI.

Sementara itu, kosmetik dan penjagaan diri kekal di tempat ketiga dengan jumlah nilai eksport halal RM3.49 bilion, meningkat 43.5 peratus daripada angka tahun sebelumnya manakala derivatif minyak sawit meningkat 63.6 peratus daripada angka pada 2021 kepada RM2.79 bilion, mewakili 4.7 peratus eksport halal.

“Kimia industri meningkat 69.7 peratus daripada angka pada 2021 kepada RM1.27 bilion manakala farmaseutikal mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan peningkatan 156.7 peratus daripada angka 2021, menyumbang RM0.72 bilion atau 1.2 peratus kepada jumlah eksport halal,”

Source : DagangNews.com