Halal Industry

Eksport produk halal Malaysia dijangka meningkat 15 peratus

KOTA BHARU: Pengeksportan produk halal negara dijangka meningkat sehingga 15 peratus tahun ini berdasarkan prestasi dagangan keseluruhan negara yang mencapai lebih RM3 trilion tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Bhd (HDC), Hairol Ariffein Sahari, berkata pengeksportan produk halal Malaysia mencecah RM59 bilion pada 2022 iaitu 63 peratus lebih tinggi berbanding pencapaian 2021 sebanyak RM30.3 bilion.

“Ini didokong pelbagai aspek termasuk jumlah pelaburan ke kawasan industri halal yang semakin meningkat. Jumlah pelaburan terkumpul sehingga Disember tahun lepas sahaja adalah sebanyak RM16.4 bilion.

“Kita menjangkakan lebih RM600 juta pelaburan akan masuk lagi ke 14 kawasan industri halal di seluruh negara tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program sesi padanan perniagaan HDC-Mydin sempena Jelajah Halal Malaysia Buka Potensi Tingkatkan Jualan, di sini pada Isnin.

Lebih 30 syarikat menyertai sesi padanan itu dan nama syarikat yang berjaya memasuki pasar raya Mydin akan diumumkan pada 18 Mei depan.

Mengulas lanjut, Hairol Arrifien berkata hampir 70 peratus eksport halal adalah ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik dengan permintaan tertinggi dari China diikuti Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

Permintaan produk halal bagi negara Asia Pasifik sahaja sudah mencecah RM2.8 trilion tahun ini, lebih separuh daripada RM5 trilion yang disasarkan mampu dicapai pada 2030, katanya.

Beliau berkata, ia satu fakta yang menarik kerana ramai beranggapan pasaran produk halal lebih mendapat tempat di negara Timur Tengah berikutan jumlah penduduk muslim yang lebih ramai di negara berkenaan.

Ia juga membuktikan bahawa produk halal turut mendapat tempat dan menjadi pilihan negara yang majoriti penduduknya bukan Islam kerana nilai tambah, kebersihan dan keaslian produk halal negara.

Dalam pada itu, beliau berkata hampir 80 peratus produk halal yang dieksport adalah produk makanan dan minuman selain bahan ramuan yang digunakan untuk menghasilkan makanan dan produk bukan makanan seperti farmasitikal dan kosmetik.

Source : Berita Harian