Halal Industry

HDC anjur sesi padanan perniagaan sempena Jelajah Halal Malaysia

KOTA BHARU, 8 Mei – Bagi memperkasa penglibatan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dalam meningkatkan peluang daya saing usahawan, Halal Development Corporation (HDC) menganjurkan program sesi padanan perniagaan sempena Jelajah Halal Malaysia (JHM).

Program itu dijayakan dengan kerjasama rangkaian pemborong dan peruncit terbesar tempatan iaitu Mydin, sekali gus berupaya meningkatkan jualan usahawan IKS.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, program tersebut juga dapat mendorong perniagaan IKS yang terlibat untuk meningkatkan hasil jualan dan pada masa sama dapat meningkatkan produktiviti perniagaan dengan lebih efektif.

Sebanyak 30 buah syarikat telah menyertai sesi padanan perniagaan tersebut.

“Pada hari ini sahaja saya telah melibatkan lebih 30 usahawan di sekitar Pantai Timur untuk masuk ke program kita dan Insya-Allah pada 18 hari bulan nanti HDC akan ada bersama JAKIM, kami akan mengelola satu program Jelajah Halal Malaysia, Kelantan merupakan destinasi pertama untuk tahun ini dan Kelantan merupakan negeri keempat yang kita jelajahi,” kata beliau selepas Program Sesi Padanan Perniagaan Sempena JHM, di sini hari ini.

(Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari bercakap pada sidang media selepas Program Sesi Padanan Perniagaan Sempena Jelajah Halal Malaysia (JHM), di Kota Bharu,
Kelantan)

Hairol berkata keutamaan akan diberikan kepada IKS yang telah memperoleh sijil halal atau sedang dalam proses untuk memperoleh sijil halal serta yang berminat untuk mendapatkan sijil halal untuk produk mereka.

Ia tidak terhad kepada produk makanan dan minuman, bahan ramuan dan kosmetik.

Pasaraya besar Mydin telah dipilih oleh HDC untuk menjadi rakan strategik program tersebut kerana ianya merupakan salah satu pasaraya besar yang aktif mempromosi dan membantu IKS halal.

Nama-nama syarikat yang berjaya memasuki pasaraya besar itu akan diumumkan pada majlis pelancaran Jelajah Halal Malaysia 2023 di Kelantan yang akan berlangsung pada 18 Mei ini.

Source : Berita RTM