News

Platform Integrasi Halal bantu usahawan ke peringkat global

PLATFORM Integrasi Halal (HIP) membantu usahawan memperkenalkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC) Berhad, Hairol Ariffein Sahari berkata, ramai usahawan di negara ini tidak tahu saluran untuk mendapatkan sijil halal.

Beliau memberitahu, platform itu sudah mempunyai 12,000 ahli sejak diperkenalkan pada pada tahun 2021 dan seramai 2,300 mendapat Sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Inilah platform di mana usahawan boleh berinteraksi di antara satu sama lain, mereka yang mempunyai sijil halal boleh menggalakkan rakan lain mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Halal Malaysia 2013-Kelantan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Hairol Ariffein, HDC akan membantu usahawan yang sudah mendapat sijil berkenaan untuk mempertingkatkan pengeluaran dan membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Kebanyakan usahawan baharu akan lebih mempunyai motivasi selepas melihat ramai rakan mereka dalam platform itu sudah berjaya dan mampu bersaing dengan produk terkenal yang lain,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, banyak insentif yang disediakan kepada usahawan yang mendapat sijil halal termasuk akses khidmat nasihat, pasaran, bahan mentah dan pembiayaan.

“Kami telah bekerjasama dengan SME bank dengan menyediakan dana RM100 juta untuk membantu usahawan yang layak mendapatkan sijil itu,” katanya.

Program empat hari itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hanifa Ahmad.

 

sumber : Sinar Harian