News

Perdagangan halal Malaysia – Jepun akan berkembang pesat

KUALA LUMPUR: Perdagangan halal antara Malaysia dan Jepun dijangka berkembang pesat pada tahun 2024 dan seterusnya disebabkan terdapat peningkatan kesedaran halal yang luar biasa dalam kalangan pengguna dan perniagaan, khususnya dalam sektor seperti makanan dan minuman (F&B), kosmetik serta pelancongan.

Ia ditambah pula dengan kestabilan politik Malaysia dan ekosistem halal yang mesra pelabur, serta komitmen terhadap piawaian emas dalam pensijilan halal, menetapkan asas yang kukuh untuk hubungan perdagangan yang teguh antara kedua-dua negara.

Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun, berkata jumlah eksport Malaysia berjumlah RM59.46 bilion pada 2022, dengan eksport halal ke Jepun mencecah RM3.6 bilion.

“Walaupun menghadapi cabaran global dan ketidaktentuan ekonomi, ini merupakan angka tertinggi sejak 2018 di mana ia menggariskan daya tahan dan potensi pertumbuhan eksport halal Malaysia.

“Peranan penggunaan teknologi dan inovasi juga berfungsi sebagai penggerak dalam meningkatkan rantaian bekalan halal bagi memastikan kualiti, kecekapan dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Azwan berkata, Ekspo Dunia 2025 yang akan datang di Osaka memberikan peluang besar untuk mempamerkan kecemerlangan halal Malaysia di persada global dan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Beliau berkata, HDC giat menggalakkan perniagaan Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk meneroka peluang pasaran halal antara Malaysia dan Jepun.

Katanya, ini bukan sahaja membabitkan mengeksport produk Malaysia ke Jepun tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab halal untuk syarikat Jepun yang ingin menerokai pasaran halal global.

“HDC kekal komited untuk memudahkan dan memupuk pertumbuhan perdagangan halal antara Malaysia dan Jepun bagi memanfaatkan kepakaran, perkongsian serta inisiatif strategiknya untuk membuka kunci potensi penuh industri halal dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi kedua-dua negara,” katanya.

Khairul Azwan berkata, Malaysia merupakan sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan ekosistem halal yang teguh akan menyediakan Jepun dengan akses kepada pasaran lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia. ”

Dengan bekerjasama antara Malaysia, syarikat Jepun boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber mereka untuk memasuki pasaran ini dengan lebih banyak lagi dengan berkesan untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan mempelbagaikan aliran hasil mereka,” katanya.

Sumber – Buletin TV3