News

HDC jangka ada lonjakan besar

Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjangkakan lonjakan yang besar dalam perdagangan antara Malaysia dan Jepun pada 2024 dan seterusnya, kata Pengerusi Khairul Azwan Harun.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, kestabilan, persekitaran pelabur yang kondusif, inovasi dalam rantaian bekalan halal serta Ekspo Dunia Osaka 2025 antara faktor penyumbang utama kepada trajektori pertumbuhan ini.

“Kami melihat peningkatan yang ketara dalam kesedaran halal dalam kalangan pengguna dan perniagaan, terutamanya sektor makanan dan minuman, kosmetik dan pelancongan.

“Kestabilan politik Malaysia dan ekosistem halal yang mesra pelabur dan komitmen kita terhadap piawaian berstatus emas dalam pensijilan halal menetapkan asas yang kukuh bagi memantapkan hubungan antara dua negara,” katanya.

Khairul Azwan berkata, eksport Malaysia berjumlah RM59.46 bilion pada 2022 dengan eksport halal ke Jepun mencecah RM3.6 bilion, tertinggi sejak 2018, walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi global.

Ini jelas menunjukkan daya tahan eksport halal Malaysia dan potensi pertumbuhannya.

Penerapan teknologi dan inovasi turut menjadi kuasa penggerak yang meningkatkan rantaian bekalan halal, bagi memastikan kualiti, kecekapan dan ketelusan, kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, ia menyatakan Ekspo Dunia 2025 Osaka adalah platform yang besar untuk mempamerkan kecemerlangan halal Malaysia di persada global, mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Jepun.

Justeru, HDC menggalakkan perniagaan Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka pasaran halal, yang membabitkan pengeksportan produk Malaysia ke Jepun, sekali gus dapat meletakkan Malaysia sebagai hab halal bagi syarikat Jepun yang ingin menerokai pasaran global.

Malaysia sebagai negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, memiliki ekosistem halal yang teguh sudah menyediakan Jepun akses kepada pasaran lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia.

“Dengan bekerjasama dengan Malaysia, syarikat Jepun boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber untuk memasuki pasaran ini dengan lebih berkesan, mengembangkan pangkalan pelanggan mereka, dan mempelbagaikan aliran pendapatan mereka,” kata kenyataan itu.

Sumber : Harian Metro