News

HDC, BIMB sedia Dana Halal RM100 juta

KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) melancarkan Dana Halal atau Go Halal Fund dengan saiz permulaan portfolio berjumlah RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata penubuhan dana itu adalah bagi menggalakkan penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

Selain itu, katanya, ia dapat membantu PKS meningkatkan prestasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi selain berkembang ke peringkat global.

“Selain pakej kewangan Dana Halal, kerjasama juga adalah melalui platform digital, iaitu integrasi antara Halal Integrated Platform (HIP) HDC dan platform SMEXpert Bank Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi membangunkan Dana Halal di antara HDC dan BIMB secara maya, hari ini.

Ia disaksikan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed.

Hairol Ariffein berkata, antara kriteria utama untuk mendapatkan Dana Halal adalah PKS hendaklah terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli kepada HIP dan memberi komitmen untuk melengkapkan modul-modul program yang direncanakan oleh HDC.

“HIP adalah satu platform digital yang menyatupadukan semua komponen utama yang ada dalam ekosistem industri halal di Malaysia.

“Setakat ini, terdapat sejumlah hampir 2,200 syarikat yang telah pun mendaftar di dalam platform HIP ini. Mereka ini sudah boleh dipertimbangkan untuk memohon Dana Halal ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, program pembiayaan Dana Halal bertujuan menyediakan bantuan kewangan bagi penyertaan dalam program latihan dan khidmat nasihat halal anjuran HDC.

Katanya, program itu turut membiayai proses pensijilan Halal, kos sumbangan Takaful dan memenuhi keperluan modal kerja serta perbelanjaan modal perniagaan.

“Ia menyediakan jumlah pembiayaan bernilai RM100,000 sehingga RM1 juta bagi perniagaan pemilik persendirian dan perkongsian; manakala RM100,000 sehingga RM3 juta ke atas bagi perniagaan Sdn Bhd dengan tempoh pembayaran semula selama tujuh tahun.

“Menerusi himpunan produk, pelanggan Dana Halal juga mendapat kemudahan Kad Kredit-i Visa Infinite Business. Ini membolehkan usahawan dan kakitangan membuat pembayaran perbelanjaan syarikat menggunakan kad kredit dan turut mendapat mata ganjaran.

“Mata ganjaran kad boleh digunakan untuk penebusan pelbagai hadiah atau disalurkan ke platform pendanaan awam Bank Islam, yang dikenali sebagai Sadaqa House, bagi manfaat golongan yang memerlukan,” katanya.

Berita Harian Online