CEO Speeches

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP JELAJAH HALAL MALAYSIA 2021 SABAH

TEKS UCAPAN

YANG BERUSAHA ENCIK HAIROL ARIFFEIN SAHARI

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, HALAL DEVELOPMENT CORPORATION BERHAD

Mariott Hotel, Sabah
16 Disember 2021, Jam 2.30 Petang

 

Bismillahirrahmanirrahim…

SALUTASI

Tuan-Tuan, Puan-Puan, Para Usahawan and Pengusaha Halal Sabah yang saya hormati

sekalian,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Salam Keluarga Malaysia,

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenan-Nya, kita dapat bersama-sama hadir di majlis Jelajah Halal Malaysia 2021 Sabah.
  2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, atas kesudian untuk bersama-sama di Majlis Perasmian Penutup Jelajah Halal Sabah pada petang ini.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

Jelajah Halal Sabah

  1. Usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memperkasakan industri halal di negeri ini telah mewujudkan sinergi di antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri dalam merencanakan agenda pembangunan industri halal yang lebih holistik.
  2. Menerusi Program Jelajah Sabah ini, HDC sebagai agensi penyelaras pembangunan ekosistem Halal Malaysia telah bertemu serta berbincang dengan para usahawan PKS dan pengusaha halal.
  3. Melalui sesi-sesi yang diadakan selama tiga hari ini, HDC dapat memahami akan keperluan serta menyediakan sokongan dan jalan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan yang dilalui para usahawan dan pengusaha halal.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

Platform Bersepadu Halal (Halal Integrated Platform / HIP)

  1. Sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara yang memberikan tumpuan kepada pemulihan semula industri halal yang terkesan akibat pandemik COVID-19, HDC pada masa yang sama telah membangunkan Platform Bersepadu Halal atau HIP.
  2. Bertujuan untuk mengembangkan industri halal negara dalam tempoh 10 tahun akan datang, HIP akan menghubungkan pengusaha-pengusaha halal di bawah organisasi kami dengan pihak berkepentingan utama di bawah satu platform, yang berpotensi menghubungkan lebih daripada 200,000 pemain industri Halal tempatan untuk mengembangkan kemampuan dan keupayaan perniagaan mereka.
  3. Platform ini dapat membantu para usahawan meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi untuk mendapatkan akses pasaran domestik dan antarabangsa sekali gus memenuhi corak aktiviti perniagaan digital masa kini.
  4. Tumpuan akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta mikro yang akan dapat mengakses program, perkhidmatan dan kemudahan bertujuan membantu mereka menjadi peserta aktif dalam ekosistem halal.
  5. Jadi, saya berharap pemain industri halal dapat mengambil peluang memanfaatkan sumber yang disediakan sebagai langkah peralihan daripada peniagaan konvensional kepada dalam talian.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

Bakat Profesional Pemangkin Industri Halal

  1. Di bawah Rancangan Malaysia ke-12, industri halal dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain penjanaan pendapatan eksport berjumlah RM56 billion.
  2. Perkembangan industri halal ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan halal profesional. Pertambahan bilangan syarikat pensijilan halal di masa akan datang juga perlu disokong oleh tenaga kerja yang mahir dalam bidang halal daripada anak tempatan.
  3. Industri halal global sangat besar dengan permintaan yang mencecah US$3 trilion setahun. Bukan sahaja menjana peluang perniagaan yang besar malah membuka peluang pekerjaan, memberikan nilai tambah ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti.
  4. HDC melalui Halal Training Institute (HTI) berperanan untuk meningkatkan pembangunan bakat halal melalui penyediaan kandungan latihan berkaitan halal yang terkini, program latihan yang holistik bagi memastikan pematuhan halal sepenuhnya dan mempromosikan faedah serta kelebihan pematuhan halal.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

  1. HDC sedia berkongsi model dan silibus dengan mana-mana IPT di Sabah. Ini boleh dilaksanakan melalui Pembangunan Pusat Tauliah Tenaga Mahir Halal Sabah serta pembangunan program pendidikan industri halal (peringkat ijazah) di IPT Sabah. Dan pembangunan ini memerlukan kolaborasi pelbagai pihak kerana ia boleh menjadi pemangkin dalam usaha memperkukuhkan industri halal.
  2. Untuk makluman semua, seramai 60,000 tenaga kerja dari seluruh negara telah menerima manfaat program latihan HDC, di mana 10,000 telah diiktirafkan sebagai Tenaga Kerja Berpengetahuan Halal.
  3. Kredibiliti HDC dalam bidang pembangunan latihan industri halal telah mendapat pengiktirafan sebagai badan peneraju industri halal negara oleh Kementerian Sumber Manusia. Selain itu, HDC juga diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai agensi pembangun Standard Pengajian Halal bagi institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

 YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

  1. Peluang industri halal di Sabah amat luas, terutamanya dalam bidang pertanian, perindustrian dan pelancongan. Bagi mensiapsiagakan syarikat-syarikat untuk memasuki industri halal, khidmat Perundingan dan Nasihat Halal (Halal Consultancy and Advisory) yang ditawarkan HDC boleh mengintegrasikan keperluan halal mengikut perniagaan untuk memacu dan meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing.
  2. Melihat pada kepentingan mengekalkan potensi industri halal yang semakin berkembang ini, HDC optimis memberi bantuan bimbingan serta khidmat perundingan dan nasihat berterusan kepada usahawan dan koperasi tempatan agar perjalanan perniagaan halal mereka mencapai matlamat sejajar dengan evoslusi industri halal global.
  3. Kami di HDC sentiasa berusaha dan sedia membantu para usahawan dan pengusaha halal memperkasakan perniagaan mereka dan seterusnya membawa perniagaan mereka merentasi ke pasaran global.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

Penggalakkan Pelaburan Baharu dan Perdagangan

  1. Industri halal memainkan peranan yang penting dalam menjamin ketahanan ekonomi negara. Ini jelas dilihat apabila banyak negara bukan Islam sedang giat menerajui industri halal walaupun mempunyai populasi Islam yang agak kecil seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand, Brazil dan China.
  2. Industri Halal di Sabah akan terus menjadi sektor pertumbuhan mampan yang mempunyai potensi besar bagi ekonomi negara. Sabah berpotensi menjadi sebuah hab halal maju yang tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan bukan makanan tetapi turut merangkumi sektor perkhidmatan. Antaranya seperti sektor kewangan, perbankan, insuran, pendidikan, latihan dan penyelidikan.
  3. Tambahan pula, kedudukan strategik Sabah yang terletak dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN atau BIMP-EAGA turut menjadikan ia sebagai industri pelancongan halal negara yang utama apatah lagi Sabah mempunyai banyak tarikan semula jadi serta terkenal dengan keramahan penduduk tempatan.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

  1. Menyedari kepentingan pembangunan industri halal di Sabah khususnya dalam era ekonomi baharu ini, HDC mengalu-alukan sekiranya pihak kerajaan Negeri ada merancang untuk membangunkan Taman Industri Halal di Sabah bagi menggiatkan pelbagai aktiviti perindustrian hiliran berkaitan untuk pelbagai industri iaitu makanan, farmaseutikal , kosmetik, perindustrian, filem, dan lain-lain.
  2. HDC sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah sebagai hab halal utama di Malaysia dengan memudahkan kemasukan penggiat industri ke dalam ekonomi halal tempatan serta meningkatkan jumlah eskport halal Sabah dan jumlah pelaburan langsung ke taman halal.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

  1. Prihatin dan memahami dengan cabaran yang dihadapi usahawan PKS khususnya dalam industri halal yang terkesan akibat pandemik COVID-19, HDC telah bekerjasama dengan BIMB untuk melancarkan satu inisiatif yang dipanggil ‘Go Halal Fund’. Program dana halal mempunyai permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta ini memberi peluang kepada usahawan-usahawan PKS untuk meringankan beban mereka secara teratur dan lebih strategik dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti.
  2. Selain bantuan kewangan, program ini juga bertujuan untuk memberi latihan dan khidmat nasihat halal. Melalui program ini, pembiayaan akan diberikan dalam proses pensijilan Halal, sumbangan Takaful, keperluan modal kerja dan juga perbelanjaan modal perniagaan.

YAB Datuk Seri dan Para hadirin sekalian,

  1. Saya harap pengusaha-pengusaha halal di Sabah ini dapat mengambil peluang kepada pelbagai kemudahan dan insentif yang telah disediakan.
  2. Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia, saling menyokong untuk memperkasakan dan merancakkan semula ekonomi halal.
  3. HDC akan berterusan memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah serta agensi-agensi kerajaan yang lain dan pihak swasta bagi melaksanakan program-program yang relevan dan mempunyai impak yang signifikan kepada pertumbuhan industri halal di negeri ini.
  4. Di kesempatan ini, saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Mohd Hijri, Pengarah MITI Sabah, MATRADE, MeSTI (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Department of Industrial Development & Research (DIDR), SEDCO ( Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), SME Bank, Kumpulan Yayasan Sabah – Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC) , SME Corp., Invest Sabah dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada pihak kami, HDC bagi menjayakan program Jelajah Halal Malaysia Sabah ini dari mula hingga akhir dan atas semua usaha mereka untuk membantu meningkatkan lagi pembangunan dan peluang-peluang ekonomi rakyat menerusi pembangunan industri halal di negeri ini. Tidak lupa juga kepada ‘rakan strategik HDC seperti Bank Islam (M) Berhad, Security Commission, UOB Bank dan Tabung Haji yang turut serta dalam program ini.
  5. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya harap semua pengisian yang kami sediakan sepanjang program Jelajah Halal Malaysia Sabah dapat memenuhi keperluan para usahawan dan pengusaha halal dan boleh diterapkan dalam aktiviti ekonomi halal masing-masing dan ia tidak berakhir di sini saja  boleh terus berhubung dengan HDC untuk keperluan lain berkaitan industri halal selepas ini juga .

Sekian, terima kasih.

-tamat-