News

HDC sasar 50,000 syarikat industri halal miliki sijil JAKIM menjelang 2030

KUANTAN, 21 Julai (Bernama) — Halal Development Corporation Berhad (HDC) menyasarkan sekitar 50,000 syarikat dalam industri halal tempatan mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari.

Beliau berkata berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terdapat 200,000 pemain industri halal di negara ini termasuk industri kecil dan sederhana (IKS), namun kurang 10,000 syarikat yang memiliki pensijilan halal Jakim, dengan kurang 3,000 daripadanya mempunyai keupayaan untuk mengeksport.

“Masih ada 190,000 syarikat yang terlibat dalam industri halal tetapi belum mendapat sijil. Ini cabaran besar bagi HDC untuk mengalakkan lebih ramai IKS mendapatkan sijil halal dan selepas itu membantu menjadikan mereka sebagai pengeksport atau sekurang-kurangnya berupaya masuk ke pasaran tempatan,” katanya.

Hairol Ariffein berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Jelajah Halal Malaysia 2022-Pahang di sini hari ini, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Program tiga hari bermula Selasa lepas (19 Julai) dihadiri pengusaha produk dan perkhidmatan halal sekitar Pahang yang antara lain melibatkan maklumat terkini pasaran industri halal, bantuan program perbankan Islam dan takaful, pematuhan pensijilan halal serta informasi berkaitan pembangunan dan latihan halal.

Beliau menambah antara persepsi silap berhubung pensijilan halal Jakim yang sering didengari ialah kos yang dikatakan mahal dan prosedur yang sukar, sedangkan kos bagi IKS untuk mendapatkan sijil halal ialah sekitar RM400 ke RM500.

“Bagaimanapun, kos untuk mematuhi pensijilan halal yang agak tinggi kerana terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dipatuhi untuk memenuhi standard ditetapkan seperti perlu menggantikan mesin yang rosak atau berkarat atau perlu membuat pengubahsuaian pada premis dan kilang.

“Bagaimanapun, HDC sudah mempunyai beberapa rakan strategik daripada kalangan bank dan pembiaya yang bersedia membantu aspek kewangan. Apa yang penting adalah mereka bertemu HDC bagi mendapatkan khidmat nasihat supaya lebih bersedia agar permohonan mendapatkan sijil halal lancar,” katanya.

Sijil halal, menurut beliau memberikan nilai tambah kepada syarikat terlibat seperti mengeskport termasuk ke negara bukan Islam seperti Jepun, yang merupakan antara lima negara teratas dalam eksport halal Malaysia, selain Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Brazil.

Selain itu, Hairol Ariffein berkata HDC juga telah membangunkan Platform Bersepadu Halal (HIP) bagi menghubungkan pengusaha halal di bawah organisasinya dengan pihak berkepentingan utama yang antara lain bertujuan membantu usahawan meneroka peluang perniagaan baharu dan memenuhi corak aktiviti perniagaan digital.

Pertambahan bilangan syarikat pensijilan halal pada masa depan juga, menurut beliau perlu disokong tenaga kerja mahir dalam bidang halal daripada anak tempatan, dan peranan itu turut digalas oleh Halal Training Institute (HTI) yang setakat ini telah melatih lebih 60,000 tenaga kerja dalam program latihan pengurusan halal sejak 2011.

Pada majlis itu, HDC turut memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi pertukaran Surat Tunjuk Minat yang diwakili Hairol Arien manakala UMP oleh Penolong Naib Canselor (Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat) Profesor Madya Dr Nurul Hazlina Noordin yang bertujuan meningkatkan pengetahuan halal dalam kalangan pelajar dan komuniti di negeri ini.

BERNAMA