News

MIHAS 2022: Testimoni keberkesanan kerajaan pacu pembangunan halal

Kuala Lumpur: Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18 tahun ini adalah satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri halal di Malaysia dan antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peningkatan hasil jualan dari tahun ke tahun akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan halal, dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Malah, peningkatan jualan sektor halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri halal ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan MIHAS 2022 di sini, hari ini.

Antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri halal Malaysia ialah penubuhan Taman Perindustrian Halal Malaysia (Halal Malaysia Industrial Parks) yang merupakan hab halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal serta insentif menarik daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal.

“Sehingga kini, Taman Halal telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, dengan RM9.5 bilion atau 59 peratus dari jumlah ini adalah pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.

 

Source : Harian Metro /My Metro