News

746 premis di Sarawak diiktiraf sijil Halal

KUCHING, 8 Nov: Sebanyak 746 premis di negeri Sarawak telah mendapat pengiktirafan sijil Halal setakat Ogos 2022.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, premis-premis tersebut akan menarik lebih banyak pelancong dari negara Timur Tengah ke negeri ini dan juga pelaburan yang mesra Muslim.

“Mengenai sijil Halal ini, saya berharap Majlis Islam Sarawak (MIS) akan bekerjasama dengan lebih erat bersama pihak Halal Development Corporation (HDC) untuk memastikan perusahaan yang mahu meneroka industri Halal dapat direalisasikan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia Sarawak di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang- Undang, MA63 Dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Tambah Abang Johari, sijil Halal Malaysia dikenali dan telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, New Zealand, Australia dan banyak negara maju yang lain mengiktirafnya.

Hairol (tengah) pada sidang media di Kuching.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari dalam sidang media selesai perasmian berkata, eksport produk halal negara telah meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020.

Sehingga Jun tahun ini katanya, ia telah pun meningkat lebih 60 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Sekiranya momentom ini kekal, kita menjangkakan nilai eksport produk halal ini akan mencapai RM42 bilion, iaitu RM2 bilion lebih baik daripada apa yang dicapai sebelum Covid-19 melanda.

“Lima destinasi eksport utama produk halal ini ialah China, Singapura Jepun, Indonesia dan Korea Selatan,” kata Hairol.

Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Sarawak berlangsung dari 8 hingga 10 Novemberi 2022 di Kuching yang dianjur HDC bertujuan untuk memberi manfaat kepada usahawan tempatan yang mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal yang kini giat berkembang.

 

Souce : DayakDaily