News

HDC, MIS perkasa pengurusan halal

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) merangka dan merancang hala tuju yang strategik bagi memperkasakan pengurusan halal di Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata ia termasuk mengeluarkan Surat Perakuan Halal MIS untuk mengembangkan ekonomi industri halal saiz mikro.

Justeru, beliau mengharapkan MIS untuk menjalin kerjasama lebih erat bersama pihak Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) bagi memastikan lebih banyak perusahaan meneroka industri halal.

“Kerajaan Sarawak sedar akan potensi yang boleh kita terokai daripada industri halal kepada seluruh Keluarga Malaysia Sarawak terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Saya difahamkan MIS telah merangka dan merancang hala tuju yang strategik bagi memperkasakan pengurusan halal di Sarawak dan sehingga Ogos lalu, sebanyak 746 premis di Sarawak telah mendapat pengiktirafan sijil halal dan ini akan menarik lebih ramai pelancong dari negara Timur Tengah ke negeri ini dan juga menarik pelaburan yang mesra Muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Pelancaran Jelajah Halal Malaysia 2022 yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Primer Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali; Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak menyokong penuh pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang menggariskan tujuh teras strategik utama iaitu menggalakkan tawaran industri halal yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing; membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing; serta memacu peningkatan sosio-ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan menyeluruh.

“HIMP 2030 yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah satu manifestasi bahawa industri halal adalah kekuatan nasional yang harus sentiasa diberi keutamaan dan dipertingkatkan.

“Pelan itu juga dilihat seiring dengan Strategi Pembangunan Ekonomi Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 oleh kerajaan Sarawak yang memberi penekanan terhadap sektor pertanian untuk mengeluarkan makanan berkualiti dari segi nutrisi, baik untuk diet dan kesihatan seterusnya memacu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Menurutnya, PCDS 2030 adalah agenda kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih hasil dan produk pertanian berkualiti tinggi menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa terutamanya dalam pasaran halal dunia.

Timbalan Menteri Undang-Undang di Jabatan Premier Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali, merasmikan Kempen Inisiatif Bajet 2022 sempena Program Jelajah Halal Malaysia Sarawak di Dewan Majma Kuching. – Foto NSTP/Nadim Bokhari

Source : Berita Harian