CEO Speeches

Majlis Perasmian Program Kempen Inisiatif Bajet 2022 Sempena Program Jelajah Halal Malaysia Sarawak

TEKS UCAPAN

YANG BERBAHAGIA DATUK LOKMAN HAKIM ALI

KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

SEMPENA

JELAJAH HALAL MALAYSIA 2022 PERINGKAT NEGERI SARAWAK

 

Bismillahirrahmanirrahim

Y.B. Datuk Hajah Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Undang-Undang, Perjanjian Malaysia dan Hubungan Negeri-Persekutuan;

YBhg. Datuk Hj. Mohd Naroden Bin Hj Majais

Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED);

YBhg. Datu Haji Misnu Bin Haji Taha

Yang  Dipertua Majlis Islam Sarawak;

YBrs Encik Dzulkornain Masron

Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED;

YBrs Encik Hairol Ariffein Sahari

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC);

Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin yang dihormati sekalian;

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

 Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak pada hari ini.

 Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Hajah Sharifah Hasidah Bt Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak mewakili Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri  dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak serta semua agensi Kerajaan Negeri Sarawak di atas kesudian dan komitmen bagi menjayakan program Jelajah Halal Malaysia ini.

Jelajah Halal Malaysia (JHM) merupakan ‘Strategic Business Collaboration’ di tiga (3) buah negeri yang terpilih setiap tahun. Program ini dilaksanakan secara outreach dan perkongsian maklumat mengenai peluang pekerjaan dan program-program pembangunan dan komersial sedia ada di dalam industri Halal. Untuk tahun 2022, HDC telah memilih Sarawak sebagai salah satu negeri lokasi program JHM.

Melalui program JHM 2022 ini, Kerajaan berharap untuk mendorong setiap negeri agar dapat memperkasakan industri Halal tempatan dengan kerjasama erat bersama Majlis Agama Negeri masing-masing agar produk dan perkhidmatan Halal di setiap negeri dapat diketengahkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sarawak merupakan salah satu destinasi yang terpenting di dalam JHM 2022, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasakan ekonomi Halal tempatan. Sokongan daripada pihak Kerajaan Negeri terhadap program jelajah ini adalah selari dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk menjadi antara pengeksport produk makanan bersih menjelang tahun 2030.

 Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Industri Halal di Malaysia kini semakin giat berkembang dan sudah menjadi salah satu sumber kekuatan ekonomi negara. Malaysia telah berjaya mengekalkan tempat teratas bagi sembilan tahun berturut-turut, mengatasi 81 buah negara lain, dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global berdasarkan Laporan Ke­wadaan Ekonomi Islam Global (SGIE) 2020/21.

Laporan tersebut menyaksikan Malaysia berjaya menduduki tangga teratas dalam petunjuk bagi sektor makanan Halal, kewangan Islam, pelancongan mesra Muslim (MFT), farmaseutikal dan kosmetik. Malaysia turut tersenarai dalam 10 tangga teratas untuk sektor media dan rekreasi serta “Modest Fashion”. 

Pada tahun 2021, prestasi eksport Halal negara telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan di mana terdapat peningkatan sebanyak 19 peratus daripada RM30.5 billion kepada 3 billion. Jumlah ini mewakili hampir 3 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Bagi tahun 2022 pula, sehingga bulan Jun, eksport Halal Negara melonjak kepada RM30.3 bilion berbanding RM17.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

Kategori produk seperti makanan dan minuman, bahan-bahan Halal (Halal ingredients), kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal merupakan penyumbang terbesar kepada eksport Halal bagi tahun 2021.

Kerajaan yakin bahawa pasaran eksport negara mampu diperluaskan lagi berikutan pertumbuhan industri Halal global yang dijangka akan mencecah USD 2.8 trilion menjelang tahun 2025.

Industri Halal memainkan peranan yang penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah meletakkan sasaran yang tinggi bagi industri Halal dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang dijangka akan menyumbang sebanyak 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Sehingga bulan Jun 2022, sebanyak 16.4 peratus daripada lebih 7,000 syarikat tempatan yang mempunyai sijil Halal terlibat dalam aktiviti mengeksport. Potensi pertumbuhan eksport Halal negara masih luas, terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan terdapat jurang yang perlu dirapatkan bagi membantu syarikat Halal Malaysia memanfaatkan peluang perniagaan ke arah globalisasi.

MITI dan HDC, selaku penyelaras utama pembangunan ekosistem Halal di Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memacu pertumbuhan industri Halal negara. Salah satu daripada inisiatif tersebut adalah membina Halal Integrated Platform (HIP), sebuah platform online yang menghubungkan PMKS Halal tempatan dengan pakar-pakar industri Halal dari seluruh dunia. Perkongsian pengetahuan, kepakaran serta sumber-sumber lain melalui HIP berupaya memperkasa ekosistem Halal tempatan secara keseluruhan. HIP juga akan menjalin hubungan dan kerjasama strategik dengan pelbagai Kementerian dan agensi utama di setiap negeri bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan untuk PMKS Halal tempatan.

HDC juga sedang dalam perbincangan bersama MINTRED bagi menjalin kerjasama erat untuk memacu pembangunan industri Halal di Sarawak. Antara aspek-aspek yang akan diberikan perhatian adalah pembangunan bakat Halal, pembangunan rantaian bekalan Halal dan pembangunan ekosistem Industri Halal di Sarawak melalui perkongsian pengetahuan, akses pasaran dan perkhidmatan sokongan lain yang berkaitan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Islam amat menitikberatkan penerapan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam mengimbangi kelestarian pembangunan industri. Bagi memastikan industri Halal negara kekal relevan selaras dengan perkembangan ekonomi global, aspek kelestarian serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) harus diambil kira.

Dalam konteks perdagangan antarabangsa, ESG kini giat diamalkan oleh rakan-rakan dagangan Malaysia melalui penetapan undang-undang dan peraturan berkaitan ESG ke atas rantaian bekalan produk dari Malaysia.

Industri Halal negara telah turut terkesan oleh pandemik COVID-19 yang menyebabkan gangguan terhadap rantaian bekalan di seluruh dunia. Penutupan sempadan oleh pelbagai negara sebagai langkah pencegahan COVID-19 telah menjejaskan aliran bahan mentah dan barangan siap. Ekonomi global mengambil pendekatan berjaga-jaga dengan memperkenalkan dasar-dasar seperti European Union Critical Raw Materials, Single Market Emergency Instrument dan Indo Pacific Economic Framework (IPEF) demi memastikan daya tahan rantaian bekalan dan jaminan untuk bekalan barangan kritikal.

Oleh itu, penekanan terhadap aspek-aspek ESG dan daya tahan rantaian bekalan harus diberi perhatian oleh penggiat industri Halal di Malaysia untuk memastikan kelestarian industri Halal negara. Penerapan aspek-aspek ini dikenakan ke atas industri Halal bukan hanya oleh pengguna dan perniagaan, malah juga oleh pihak berkepentingan yang lain seperti institusi kewangan dan pelaburan.

Menurut kajian oleh Maybank Islamic Berhad, terdapat sokongan yang positif dalam penerimaan dan penggunaan ESG, yang dijangka akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. ESG dijangka akan memainkan peranan yang lebih besar dalam mengembangkan ekonomi Halal dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam membangunkan Rangka Kerja ESG Kebangsaan bagi sektor Pembuatan yang akan turut merangkumi industri Halal. Pemerkasaan agenda ESG di negara ini diharap dapat merancakkan lagi perdagangan Halal negara serta meningkatkan peluang pelaburan baharu seterusnya mencapai pertumbuhan yang mampan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian, 

Malaysia kini berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang meneroka pasaran industri Halal dunia yang semakin berkembang pesat. Untuk makluman semua hadirin, Pameran Halal Antarabangsa 2022 (MIHAS) yang diadakan pada bulan September 2022 yang lalu telah berjaya merekodkan jualan sebanyak RM2.36 bilion, melepasi sasaran asal RM1.90 billion.

Dalam usaha untuk melonjakkan pertumbuhan industri Halal ke tahap yang lebih tinggi, HDC melalui Kempen Inisiatif Bajet 2022 telah merangka kempen “Jadikan Halal Pilihan Utama Anda”. Program ini merupakan satu platform untuk membantu PMKS mendapatkan pendedahan mengenai peluang dan bantuan yang boleh diperolehi melalui agensi-agensi Kerajaan dan memperkasa keupayaan PMKS untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), Kerajaan akan menggariskan pelaksanaan yang utuh bagi memperkukuhkan pembangunan industri Halal dengan mewujudkan kumpulan bakat yang lebih besar, menambah baik infrastruktur yang bersepadu serta mempercepatkan pengeluaran produk dan perkhidmatan Halal yang bernilai tambah tinggi.

Menerusi HIMP 2030 ini, pasaran industri Halal Malaysia disasarkan berkembang sehingga USD113.2 bilion dengan sektor makanan dan minuman dijangka menjadi penyumbang terbesar sebanyak USD85.2 bilion menjelang tahun 2030.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Saya yakin kerjasama yang telah terjalin di antara MITI, HDC dan kerajaan Negeri Sarawak pasti akan melonjakkan peluang pertumbuhan ekonomi tempatan yang melibatkan produk dan perkhidmatan Halal melalui pengembangan akses pasaran, galakan aktiviti pelancongan mesra Muslim dan promosi pelaburan asing untuk pembangunan sektor Halal.

Insya-ALLAH, dengan kerjasama daripada semua negeri untuk memartabatkan industri Halal negara, kita mampu meletakkan Malaysia sebagai hab Halal utama dunia.

Terima kasih kamek ucapkan kepada pejabat Premier Sarawak, MINTRED, Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak serta agensi-agensi kerajaan Negeri dan rakan-rakan strategik yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program hari tok. Akhir kata dari kamek, Terima kasih bunga melati, Sarawak selalu dekat di hati.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

-tamat-