News

HDC & JAIS Ganding Bahu Memperkasa Kerjaya ‘Frontliner’ Industri Makanan Halal

Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2 Mac lalu telah menandatangani Memorandum Kerjasama yang bertujuan untuk memperkasakan Inisiatif Pembangunan Modal Insan Industri Halal di Selangor.

Memorandum Kerjasama yang ditandatangani oleh Ketua Pembangunan Industri HDC Hanisofian Alias dan Ketua Penolong Pengarah JAIS Puan Nazihan Idris itu turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari dan Pengarah JAIS YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad di sebuah majlis yang diadakan di Shah Alam.

Tiga Inisiatif Diwujudkan Dalam Kerjasama Antara HDC Dan JAIS

Kerjasama antara HDC dan JAIS ini merangkumi tiga Inisiatif iaitu:

1. Penubuhan Pusat Penilaian Amali (PPA) bagi bidang Sembelihan Unggas Halal pertama di Selangor dan Malaysia

Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi peluang kepada penyembelih yang dianggap sebagai barisan hadapan dalam industri makanan halal berasaskan daging untuk mendapat penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

2. Penganugerahan SKM kepada pegawai JAIS melalui kaedah PPT

Inisiatif kedua ini diwujudkan untuk memberi pengiktirafan terhadap kemahiran yang dimiliki melalui pengalaman bagi pegawai JAIS yang terlibat dalam pengurusan Halal seperti pensijilan, audit, pemantauan sebagai nilai tambah dalam pembangunan kerjaya.

3. Pelantikan pegawai JAIS sebagai Pegawai Penilai PPT

Pelantikan ini adalah untuk memudahcara proses penilaian bakat berkemahiran bidang Halal untuk mendapat SKM melalui kaedah portfolio atau amali.

Melalui kerjasama HDC dan JAIS ini diharap lebih banyak Pusat Penilaian Amali dalam industri Halal, khususnya bidang sembelihan dapat diwujudkan di negeri-negeri lain dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri untuk mengiktiraf bakat berkemahiran dalam industri Halal seterusnya menaiktaraf kerjaya tersebut.

HDC telah dilantik sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) sejak 2016 oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Peranan HDC sebagai ILB adalah memastikan sumber tenaga mahir berasaskan kemahiran mencukupi dalam industri, menjadi penghubung dalam memberi maklumbalas secara terus kepada JPK berkaitan keperluan bidang Halal, mencadangkan mekanisma terbaik dalam memartabatkan TVET serta mempromosikan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) kepada industri Halal untuk melahirkan tenaga kerja dengan kepakaran khusus diiktiraf oleh industri.

Selain dari menyediakan latihan profesional halal, HDC juga menawarkan kepakarannya dalam memudah cara bagi pemain industri untuk mengorak langkah ke dalam pasaran halal melalui perkhidmatan konsultansi dan nasihat pakar industri, khidmat pemadanan perniagaan serta “Halal Integrated Platform” sebagai rangkaian hubungan rantaian bekalan produk dan perkhidmatan halal global.

 

source : The Rakyat Post