News

Industri halal negara dijangka meningkat kepada AS$113.2 bilion

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dilancarkan dengan industri halal negara dijangka berkembang kepada AS$113.2 bilion menjelang 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.1 peratus menjelang 2025.

Pelancaran pelan induk bagi mengukuhkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia berkata, penghasilan pelan induk itu tepat pada masanya kerana negara berusaha untuk memanfaatkan secara strategik permintaan global yang semakin meningkat bagi produk dan perkhidmatan halal.

Beliau berkata, ia juga mengukuhkan peranan kepimpinan Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem industri halal negara ini yang diiktiraf dunia dan kepakaran kumulatif.

“Tema HIMP 2030 iaitu ‘Terkemuka, Terlihat dan Globalisasi Halal Malaysia’ mewakili objektif utama kita untuk memangkin pertumbuhan industri halal Malaysia yang inklusif dan menyeluruh, dan menambah baik dinamik ekosistem industri halal negara untuk lebih banyak produk dan perkhidmatan, bagi menyokong pertumbuhan masa depan kemakmuran sosio-ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berbesar hati menjadi pemacu strategik untuk HIMP 2030, dengan sokongan pelaksanaan yang utuh oleh agensinya, Halal Development Corporation.

Beliau berkata, salah satu keutamaan kementeriannya bagi 2023 adalah mengembangkan perdagangan, yang mana barangan dan perkhidmatan halal boleh memainkan peranan yang lebih menonjol.

“Melalui HIMP 2030, kami mengunjurkan industri halal kita akan berkembang kepada AS$113.2 bilion menjelang 2030, dengan sumbangan KDNK sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025.

“MITI akan terus mempertingkatkan semua komponen ekosistem halal ke arah memartabatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global, dan memanfaatkan dua bilion penduduk Islam global yang utuh.

“Dalam mencapai objektif ini, MITI dan agensinya telah pun memulakan usaha untuk meletakkan industri sebagai sektor yang menguntungkan dan berdaya saing, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Di bawah HIMP 2030, sebanyak 23 inisiatif telah dikenal pasti menjadi tujuh teras strategik dan memanfaatkan peluang dan menangani cabaran.

Tujuh teras strategik itu termasuk mempertingkat dasar mesra halal dan perundangan; mewujudkan ruang pasaran baharu dan lebih besar bagi produk halal Malaysia dan perkhidmatan; mewujudkan kumpulan pakar dan profesional halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global; meningkatkan kualiti dan pembangunan infrastruktur bersepadu; memupuk kepimpinan pemikiran; melahirkan lebih ramai juara halal tempatan; dan memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih berdaya saing dalam industri halal.

HIMP 2030 akan didorong oleh lima hasil sasaran utama, yang termasuk mempunyai industri halal domestik yang kukuh dan pelbagai; menawarkan pematuhan Syariah hujung ke hujung; mempertingkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia; mempunyai ekosistem perniagaan yang berdaya saing dan mempromosikan ‘Halal Malaysia’ di peringkat global.

source : Berita Harian