News

HDC sasar RM200 bilion produk halal

KUALA LUMPUR – Halal Development Corporation (HDC) menyasarkan nilai dagangan produk halal Malaysia pada tahun 2030 mencecah lebih RM200 bilion.

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, sasaran itu bagi mencapai ketetapan kerajaan daripada Pelan induk industri halal Malaysia 2030, iaitu sebanyak 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Malaysia kini berada pada kedudukan nombor satu dalam konteks kita sebagai penyokong ekonomi halal dunia, tetapi daripada segi nilai dagangan dan eksport masih lagi boleh dipertingkatkan memandangkan nilai semasa pasaran dunia hampir AS$ 3 trilion.

“Bagaimanapun, pada tahun 2022, Malaysia berjaya merekodkan hampir RM60 bilion bagi nilai dagangan eksport jadi jika dibandingkan dengan AS$ 3 trilion itu, masih lagi jauh.

“Susulan itu, HDC sebagai sebuah agensi yang diberikan mandat penuh oleh kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mencari dan membuat perancangan untuk membantu meningkatkan nilai eksport.

“Iaitu melalui penglibatan lebih banyak syarikat, produk dan perkhidmatan tempatan yang didaftarkan dan diberi sijil halal, bagi membolehkan ia dieksport ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Bersama Rakan Strategik HDC, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Jumaat.

Khairul Azwan Harun beramah mesra dengan tetamu pada majlis Jalinan Mesra Bersama Rakan Strategik HDC di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah Khairul Azwan, pihaknya sedang mencari pendekatan bagi melaksanakan perancangan baharu untuk menarik minat pelaburan langsung asing (FDI) luar negara daripada syarikat multinasional yang memang terlibat dalam rantaian bekalan ekonomi halal dunia dalam pelbagai bidang.

Ujarnya, syarikat yang terlibat bukan sahaja berasaskan makanan, tetapi farmaseutikel, kosmetik, peranti perubatan termasuk logistik dan industri sumber halal

“Kita mencari bagaimana cara untuk menarik minat mereka untuk melabur di Malaysia dan mengeksport barangan dan produk daripada negara disamping mendapat persijilan halal.

“Justeru, saya mengajak usahawan, syarikat negara untuk segera menerokai peluang eksport ke pasaran antarabangsa kerana nilainya sangat besar.

“HDC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu mempercepatkan perhantaran persijilan dan berusaha membawa mereka ke persada dunia bersama Matrade dan MITI,” ujarnya.

Sumber : Sinar Harian