News

HDC perlu terajui diplomasi halal – Ahmad Zahid

PETALING JAYA: Halal Development Corporation Berhad (HDC) perlu bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri untuk menerajui agenda diplomasi halal. bagi membawa jenama halal Malaysia ke peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha ini penting kerana banyak negara dan organisasi melihat kepada Malaysia apabila membangunkan ekosistem halal mereka.

Sehubungan itu, katanya, HDC tidak seharusnya hanya menumpukan kepada produk atau perkhidmatan halal yang nyata, sebaliknya menggunakannya sebagai peluang untuk mengeksport ilmu halal melalui diplomasi halal Malaysia.

“Konsep baharu diplomasi halal yang diterajui HDC ini, boleh menetapkan piawaian emas global untuk halal, termasuk memudahkan perkhidmatan halal merentasi sempadan, menggalakkan perkongsian teknologi dan penyelidikan serta memastikan proses pengesahan halal yang lancar.

“Melalui cara ini, kita boleh membina ekonomi halal global yang berdaya tahan dan mampan. Dengan mengamalkan konsep ini, kita juga boleh mengekalkan status halal tertinggi Malaysia melalui penghayatan ekosistem halal kita,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2022 anjuran HDC, di sini malam ini.

HDC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan benar-benar mahu menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal memandangkan pasaran halal dijangka berkembang daripada US$3 trilion pada 2018 kepada US$5 trilion menjelang 2030.

“Kerajaan kita mengiktiraf perkara ini dan sebab itu kita telah melancarkan inisiatif untuk meningkatkan kapasiti dan daya saing industri,” katanya sambil menambah bahawa dalam hal ini, kerajaan telah melancarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 untuk memacu pembangunan ekonomi negara.

“Besar sasaran kita menerusi pelan induk ini. Kita mahu industri berkembang kepada US$113 bilion menjelang 2030, menyumbang lapan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 350,000 pekerjaan berkualiti tinggi,” tambahnya.

Mengenai Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA) 2022, Ahmad Zahid berkata, acara itu mencerminkan kepesatan pertumbuhan ekonomi yang berterusan disokong oleh sumbangan, pencapaian dan usaha terpuji pemain industri halal dalam mendorong produk dan kerumitan pasaran yang lebih besar, sambil mengintegrasikan produk Malaysia secara global dan memanfaatkan potensi besar industri bernilai trilion dolar ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun.

Menerusi WHEA 2022, sebanyak 20 organisasi dan seorang individu telah dianugerahkan atas sumbangan cemerlang mereka dalam pertumbuhan industri halal.

Antara kategori anugerah itu ialah Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Halal yang dianugerahkan kepada Pengerusi dan Presiden Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB), Dr Muhammad Sulaiman Al Jasse, manakala kerajaan Selangor menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal.

Pemenang lain ialah F&N Holdings Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd, kedua-duanya bagi kategori Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal, sementara Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai McDonald’s menerima Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal (Antarabangsa).

Anugerah tahunan itu juga bagi mengiktiraf dan menghargai pencapaian luar biasa pemain industri halal dalam menjadikan Malaysia sebagai prestasi terbaik global dalam pasaran bernilai US$3 trilion.

Lebih 200 pengiktirafan dianugerahkan HDC kepada individu, organisasi dan syarikat sejak anugerah itu diperkenal pada 2009.

Sumber : BERNAMA