Halal Industry

Pemain industri halal jadikan prestasi Malaysia terbaik global

PETALING JAYA: Malaysia kini berada di barisan hadapan industri produk halal dunia dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

Pasaran halal dunia kini tidak lagi hanya tertumpu kepada produk pemakanan dan kecantikan semata-mata, sebaliknya, turut berkembang membabitkan perkhidmatan dan juga perubatan halal.

Lebih membanggakan, pencapaian luar biasa pemain industri halal menjadikan Malaysia sebagai prestasi terbaik global dalam pasaran bernilai AS$3 trilion.

Bagi mengiktiraf sumbangan organisasi dan individu dalam pertumbuhan industri halal, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA) 2022.

Pada acara yang penuh gilang gemilang itu, HDC memberi pengiktirafan kepada 20 organisasi dan seorang personaliti.

Antara kategori anugerah adalah Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Antarabangsa) yang diberikan kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai McDonalds Malaysia atas kecemerlangan dan konsistensi kreatif syarikat dalam menggalakkan penerimaan antarabangsa serta mendukung integriti halal.

Anugerah Kecemerlangan Kepemimpinan Halal 2022 diberikan kepada Pengerusi dan Presiden Kumpulan IsDB, Dr Muhammad Sulaiman Al Jasse, sebagai penghargaan atas kepemimpinannya menjalankan kajian analisis jurang ekosistem halal strategik di Malaysia dan kawasan lain.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA 2022) diadakan bertujuan memberi motivasi kepada industri halal supaya berjuang dengan lebih gigih.

Katanya, industri halal memerlukan motivasi khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini di mana ekonomi dunia menjadi suram akibat COVID-19 sehingga menyebabkan ramai peserta industri yang kecundang.

“Namun, pada masa sama, masih terdapat peserta yang menunjukkan ketahanan sangat baik… Jadi, usaha itulah yang sebenarnya perlu kita raikan.

“Selain itu, menjadi persoalan besar pada peringkat lebih tinggi apabila negara luar bertanya siapakah juara Malaysia dalam industri Halal.

“Oleh itu, HDC memerlukan lebih banyak syarikat tempatan yang boleh diketengah dan dianugerahkan atas pencapaian mereka,” katanya.

Pemenang lain ialah F&N Holdings Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd, kedua-duanya bagi kategori Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal, sementara kerajaan Selangor menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal.

Turut mengungguli kategori Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Tempatan) adalah Duopharma bagi produk Flavettes, yang menjadi produk farmaseutikal pertama menerima pensijilan Halal Malaysia.

CEO Duopharma Biotech Berhad, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid, berkata dengan pencapaian yang diterima itu, pihaknya akan berusaha dengan lebih gigih untuk terus membangunkan industri perubatan halal terutama dari segi kajian dan pembangunan.

Katanya, menjadi satu kebanggaan apabila usaha Duopharma untuk membangun dan mengetengahkan halal farmaseutikal berjaya diberikan pengiktirafan oleh HDC.

“Kenapa kami terus berada dalam industri ini adalah kerana tanggungjawab sebagai warga korporat dan juga fardu kifayah, maka, kita perlu mengambil tugas ini.

“Halal farmaseutikal memang ada pasaran dan juga permintaan.

“Oleh itu, kita akan terus membangunkan produk ini, malah yang terbaharu kita turut membangunkan produk untuk kegunaan onkologi,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan industri halal terus berkembang maju dan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai organisasi, kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh perlu dipertingkatkan.

“Mereka juga perlu memahami bahawa industri halal ini menawarkan satu sumber pendapatan ekonomi yang baik untuk mereka.

“Namun, ekosistem itu perlu dibangunkan dengan mampan dan berterusan.

“Kerana jika kita ingin menjadi industri halal terkenal, kita perlu terus fikir apa yang diperlukan oleh usahawan dan juga vendor,” katanya.

Pada acara itu, Quanterm Logistics Sdn Bhd turut meraih Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal (SME) dalam usaha memacu penambahbaikan dalam persekitaran industri dan Integriti Halal di samping memajukan kecekapan perniagaan.

Pengarahnya, John Tay, berkata anugerah itu akan membantu syarikatnya dalam mewakili Malaysia terutama dalam bidang logistik.

Katanya, kerajaan disaran untuk terus menaja dan membantu usahawan bagi mengambil bahagian dalam industri halal serta menjangkau pasaran luar negara.

Selain itu, lebih 200 pengiktirafan dianugerahkan HDC kepada individu, organisasi dan syarikat sejak anugerah itu diperkenal pada 2009.

HDC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.

Sumber : Berita Harian